fbpx

Lebih 5,000 peniaga kecil, suri rumah serbu Jualan Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIDA Othman dan suaminya memborong barangan yang dibeli di program Jualan Rahmah Kasih Sayang di Tapak Pekan Sehari Dong di Raub.

RAUB – Lebih 5,000 pengunjung khususnya suri rumah dan peniaga menyerbu Jualan Rahmah Kasih Sayang yang menawarkan harga barangan lebih murah sehingga 30 peratus di Perkarangan Tapak Pekan Sehari Dong, di sini hari ini.

Antara barangan yang menjadi rebutan pengunjung di Karnival Kita Madani itu ialah ayam, ikan, telur, beras dan minyak masak yang dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Jualan Rahmah Kasih Sayang itu dilihat dapat membantu golongan B40 untuk mendapatkan barangan pada harga yang murah.

“Aktiviti ini akan diteruskan seperti hari ini di Dong, bulan berikutnya kita mungkin adakan di tempat lain kerana kita hendak semua rakyat dapat merasa.

“Sekurang-kurangnya rakyat dapat merasakan bahawa Kerajaan Perpaduan ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah cakna dan prihatin kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Norida Othman, 61 dari Kampung Ulu Dong memberitahu, dia membelanjakan sehingga RM400 untuk membeli barangan untuk menambah stok berniaga.

“Saya memang tak mahu melepaskan peluang ini, memang murah berbanding harga di pasaran. Jadi saya borong barang-barang seperti beras, telor dan gula, kalau Jualan seperti ini dijalankan lebih kerap adalah lebih baik kerana dapat membantu golongan seperti kami ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Ernawani Zu, 37, dari Kampung Jelu menyatakan kegembiraannya apabila dapat membeli barangan keperluan pada harga yang murah.

“Sebelum ni, susah nak dapat beli minyak masak (peket) tetapi di sini, saya boleh beli dengan mudah walaupun pembelian itu dihadkan. Hari ni sahaja, dengan berbekalkan RM18 saya dah boleh beli minyak, tepung gandum dan lain-lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI