fbpx

Kes berhenti kerja paling tinggi dikendalikan JPPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUSTAPHA Sakmud (depan, tengah) bergambar bersama para peserta Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan tahun 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka. - foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

MELAKA – Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPPM) menyelesaikan sebanyak 1,249 kes secara rundingan damai antara majikan dengan pekerja bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud berkata, jumlah itu mewakili 57 peratus daripada 2,182 kes yang diselesaikan jabatan membabitkan nilai pampasan sebanyak RM24.9 juta.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 3,260 kes telah dikendalikan di peringkat jabatan.

“Bagi tempoh tiga tahun dari 2021 hingga 2023 (Jun), jabatan telah menyelesaikan kes melalui bayaran pampasan atau ex-gratia sebanyak RM90.4 juta kepada 3,689 pekerja, manakala zon selatan telah menyelesaikan kes melalui pampasan sebanyak RM13.5 juta.

“Penyelesaian di peringkat rundingan damai tidak memerlukan kes dirujuk ke mahkamah. Kes tertinggi yang dikendalikan JPPM adalah pemberhentian kerja dan pemecatan diikuti salah laku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan Tahun 2023 di sini, hari ini.

Tambah Mustapha, Indeks Keharmonian Perusahaan Nasional pada tahun lepas bagi zon selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor adalah sebanyak 79.3 peratus.

Menurutnya, peratusan itu menunjukkan tahap keharmonian di zon berkenaan adalah baik.

“Bagaimanapun ia boleh dipertingkatkan ke tahap cemerlang. Pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada hubungan majikan dan pekerja.

“Konsep perkongsian antara majikan, pekerja dan kesatuan sekerja yang diamalkan di negara-negara maju boleh dilaksanakan di Malaysia untuk memperkukuh modal insan dan pasara buruh,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI