PETALING JAYA – Bermula dengan hobi suka mencuba makanan menarik dan unik, golongan suri rumah kini mampu menjana pendapatan mencecah lima angka sebulan sebagai pengulas makanan.
Pada mulanya, mereka mengulas makanan yang tular secara suka-suka tanpa sebarang bayaran sebelum video tersebut dikongsikan dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
Setelah video itu mendapat perhatian sehingga 100,000 tontotan, mereka mula menerima permintaan daripada peniaga dan pemilik restoran sehingga ada yang sanggup membayar sehingga ribuan ringgit bagi satu sesi rakaman.
Seorang suri rumah, Nur Haziqah Muhammad Hisham, 24, berkata, dia mula berjinak-jinak sebagai pencipta kandungan dengan mengulas makanan sejak berada di universiti.
“Saya suka meneroka makanan-makanan menarik di Malaysia kerana hobi saya adalah makan. Selepas itu, saya kongsi video dalam media sosial.
“Tidak sangka, daripada video ringkas itu ramai yang suka tonton dan beri maklum balas positif sehingga tular. Sejak itu saya mula berjinak-jinak sebagai pengulas makanan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut graduan Diploma Perniagaan itu, dia mula bergiat secara serius sebagai pengulas makanan pada awal tahun lalu dengan menawarkan promosi serendah RM300 bagi satu sesi rakaman atau siaran langsung.
Jelas Nur Haziqah, caj yang dikenakan kepada klien itu bergantung mengikut lokasi dan jenis perniagaan sama ada kecil dan sederhana atau besar.
Nur Haziqah kini tersenyum lebar apabila mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan atau lebih.
Perkara sama dikongsi seorang lagi suri rumah, Nur Syazwani Irwan Yadie, 24, yang memberitahu, dia terjebak sebagai pengulas makanan selepas memuat naik video memasak sehingga meraih sejuta tontonan dalam masa beberapa hari di TikTok tahun lalu.
“Saya suka memasak, jadi saya rakam dan muat naik di TikTok. Ramai pengikut yang suka tonton. Ada pengikut yang mencadangkan saya buat ulasan makanan di kedai tomyam di Ipoh.
“Pada mulanya, saya bercadang untuk melakukannya secara sambilan, lama-kelamaan jadi kerjaya sepenuh masa dengan pendapatan lebih RM5,000 sebulan. Dalam sehari, biasanya saya mempromosikan dua hingga empat kedai makan,” katanya.
Sementara itu, Tuan Natasha Tuan Zainudin, 25, juga tidak menyangka rezekinya sebagai pencipta kandungan berkaitan makanan berpanjangan walaupun bermula secara suka-suka.
“Bayaran itu bergantung kepada jumlah tontonan dan pengikut di akaun TikTok antara RM300 hingga RM500. Kadar tersebut mungkin berubah sekiranya bilangan pengikut bertambah.
“Kadang-kadang ada netizen yang mengecam saya, tetapi atas sebab itu juga (kecaman) saya semakin dikenali,” kongsinya.













