MENJAGA nilai eksklusif. Itu prinsip yang dijaga oleh Faizal Hussein bagi memastikan dirinya kekal berada dalam kelas tersendiri sehingga hari ini.
Bukan ingin angkuh dengan gelaran pelakon senior yang dipegang, dia hanya ingin memastikan hasil kerjanya dinilai berdasarkan kualiti diberi, bukannya kuantiti naskhah dijayakan.
Katanya, nilai eksklusif tersebut yang mampu membezakan darjat seorang anak seni dalam industri hiburan tanah air.
Perbezaan itu dapat dilihat berdasarkan jenis watak, filem mahupun drama termasuk jumlah bayaran yang ditawarkan kepada seseorang pelakon.
Tutur aktor yang terkenal menerusi filem Gila-Gila Remaja itu, aspek bayaran antara yang menjadi keutamaannya ketika ini memandangkan sudah lebih tiga dekad memahat nama sebagai pelakon.

Bayaran
Baginya, bayaran haruslah dibayar setimpal dengan kualiti lakonan dan ‘usia’ seseorang sebagai pelakon.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah lagi melalui fasa menerima bayaran sedikit daripada mana-mana pihak produksi.
“Sebenarnya, kalau nak mengupas hal ini, sampai subuh pun tidak akan ada penamatnya.
“Sejujurnya banyak benda yang perlu dijaga dan dikawal untuk mencapai tahap seorang Faizal Hussein sekarang ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Merancakkan perbualan, aktor itu tidak menafikan wujud isu segelintir pelakon senior terutama golongan veteran yang dibayar dengan nilai tidak munasabah.
Perkara sebegitu bagaimanapun boleh diselesaikan secara dalaman dan tidak seharusnya diperhebohkan kepada umum kerana dikhuatiri boleh menjejaskan nilai eksklusif seorang pelakon.
“Ya, memang wujud isu semakin tua seorang pelakon, semakin murah bayaran diterima. Saya akui perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.
“Tidak perlu hebohkan kepada umum. Sama kes seperti gaduh suami isteri tetapi kongsi dalam media sosial.
“Untuk menjaga nilai eksklusif itu, kita yang tentukan cara untuk mempromosi diri dalam industri. Perkara ini penting kerana memberi impak kepada periuk nasi seorang pelakon itu sendiri,” jelasnya panjang lebar.
Rungkainya, sekiranya nilai eksklusif tersebut dijaga dengan profesional, seseorang pelakon itu pasti akan berada dalam kelompok ‘tertinggi’ sekali gus memegang pelbagai jenis watak penting dalam drama mahupun filem.
“Sebagai anak seni, saya sentiasa berpegang dengan prinsip bahawa bukan semua perkara atau masalah harus dikongsi dalam media sosial.
“Jika ingin menjadi relevan dan terus diterima masyarakat, perlu buktikan kepada penonton bahawa kita layak untuk memilikinya,” ujar pemilik nama penuh Mohd. Faizal Hussein itu.

Watak tua
Berbicara soal watak, dia bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan memegang watak utama atau penting dalam setiap drama atau filem pada usia 56 tahun.
“Pada ketika ini, kalau saya dapat watak sebagai orang tua, karakter itu antara yang penting dan beri impak untuk jalan sesebuah naskhah.
“Pada usia sekarang ini, memang jarang saya jadi hero tetapi kalau masih relevan, pihak produksi akan fikir kita layak untuk pegang watak yang beri impak.
“Apabila ada watak sebegitu, pasti mereka akan sebut nama kita. Itu pencapaian yang sudah cukup baik untuk seorang pelakon sebenarnya,” tuturnya.
Dalam pada itu, pemilik trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2018 itu turut berpendapat penampilan juga memainkan peranan penting dalam memastikan seseorang pelakon kekal dalam kerjayanya.
“Saya sedar diri sudah berusia cuma tidak suka bawa diri seperti orang tua.
“Menjaga penampilan diri agar tidak nampak tua pada mata pihak produksi membuatkan saya dihujani dengan pelbagai watak yang boleh dimudakan jika jalan cerita memerlukan babak flashback. Itulah kelebihan yang saya ada ketika ini.
“Saya juga tidak cucuk sana sini untuk ubah atau ingin kelihatan muda dan hanya menjaga pemakanan serta kesihatan diri agar terus mampu untuk melakonkan aksi lasak sendiri,” ujarnya.

W: Two Worlds
Sementara itu, anak bongsu pasangan pelakon era 1960-an, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Allahyarham Mahyon Ismail bersyukur masih mampu melakukan babak aksi sendiri tanpa memerlukan khidmat pelakon lagak ngeri dalam drama W: Two Worlds.
“Saya banyak terlibat dengan babak aksi untuk drama ini walaupun mereka ada sediakan pelakon lagak ngeri.
“Saya sudah menonton beberapa episod drama versi Korea. Sebenarnya hal tersebut sudah melanggar etika saya bekerja iaitu tidak menonton jalan cerita sebelum membaca skrip supaya tidak mengikut acuan dengan watak asal,” kongsinya.
Akuinya, W: Two Worlds merupakan antara naskhah yang paling sukar pernah dilakonkannya, namun enggan berkongsi lanjut dan meminta penonton membuat penilaian sendiri selepas ditayangkan sekitar November depan.
“Drama kedua saya dengan Viu dan ini merupakan projek yang paling sukar dalam sejarah kerjaya seni saya.
“Apapun, saya sahut cabaran untuk projek ini dan harap penonton dapat menerima W: Two Worlds versi Malaysia yang diubah sedikit mengikut kesesuaian budaya negara kita,” katanya mengakhiri perbualan.
Drama terbitan Viu Original itu merupakan adaptasi daripada drama popular Korea Selatan W: Two Worlds.
Selain Faizal, drama arahan Datuk Yusry Abdul Halim itu turut membariskan Hun Haqeem, Daiyan Trisha, Mierul Aiman dan Elizabeth Tan sebagai pelakon utama.














