fbpx

Penggiat gig diberi upah sangat ciput – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid menerima tepukan gemuruh para penggiat gig semasa berucap di Dewan Tun Hussien Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegur syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing dan e-hailing kerana memberi upah yang sangat rendah kepada penggiat gig.

Menurut beliau, syarikat pengusaha ekonomi gig memperoleh kekayaan daripada industri berkenaan, tetapi penggiat gig memperoleh bayaran yang tidak seberapa.

“Kita tahu bahawa pengusaha ekomomi gig ini merupakan orang kaya bertambah kaya, tetapi penggiat gig hanya diberi upah sangat ciput. Keciputan ini harus diperjuangkan.

“Ada dalam kalangan penggiat gig ada diploma dan ijazah. Jangan pernah pandang rendah pada penggiat gig. Mereka bukan memilih, tetapi terpaksa untuk menyara diri dan keluarga.

“Saya ingatkan jangan tekan, jangan zalim pekerja gig. Jangan tidak ambil kepedulian pekerja gig. Nasib pekerja gig mesti dibela oleh kerajaan,” katanya pada Forum Kerangka Kerjaya Industri GIG di Dewan Tun Hussien Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, memang benar Malaysia mahukan industri berteknologi tinggi dan perniagaan atas talian, tetapi syarikat terlibat tidak akan maju tanpa penggiat gig.

“Untung sikit-sikit cukuplah. Tanpa pekerja gig syarikat itu tidak akan maju. Jangan aniaya. Mereka tidak anggap penggiat gig sebagai pekerja dan mereka kononnya bukan majikan.

“Mereka ini telah sengsara lama. Ramai ada masalah, nasib baik ada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) beri perlindungan sosial kepada mereka,” katanya lagi.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia yang disasar diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024, Oktober depan bertujuan memastikan kebajikan dan perlindungan kepada penggiat gig.

Dalam pada itu, katanya, walaupun ‘warna’ ekonomi gig berbeza-beza, tetapi dalam soal kebajikan penggiat gig, kerajaan tidak akan ada agenda politik.

“Kita ketepikan agenda politik. Yang penting Kerajaan Madani komited. Saya akan memperingatkan Perdana Menteri terus mengambil kepedulian nasib penggiat gig dan saya yakin beliau (Perdana Menteri) sangat-sangat komited,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI