fbpx

Anwar nafi ada kuasa beri tauliah kuliah agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (empat dari kiri) ketika merasmikan Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan (SPS), hari ini. Foto ISWAN SHAFIQ ISA/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan yang beliau mempunyai kuasa untuk memberi tauliah kepada sesiapa sahaja bagi memberi ceramah khususnya di masjid, ketika ini.

Perdana Menteri berkata, urusan tersebut adalah di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu dan beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan berkaitan perkara tersebut.

“Saya tak campur dalam urusan siapa dapat tauliah dan siapa tak dapat tauliah. Ya, saya PM (Perdana Menteri) tapi dalam soal agama, kuasa di bawah Raja-Raja Melayu.

“Mereka (Raja-Raja Melayu) tak izin masjid jadi gelanggang politik. Dakwah boleh, tazkirah boleh, ceramah boleh tapi, kempen (politik) tak boleh.

“Ini keputusan Raja-Raja Melayu. Bukan keputusan saya,” katanya ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan (SPS), hari ini.

Sebelum ini, beberapa tokoh agama mendakwa telah dihalang daripada menyampaikan kuliah di masjid tertentu atas pelbagai sebab termasuk tidak memiliki tauliah untuk mengajar dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7 juta bagi membantu melengkapkan dana pembinaan masjid baharu di Sungai Bakap yang dianggarkan menelan kos sehingga RM20 juta.

Kata beliau, peruntukan itu sebagai tambahan kepada jumlah RM2 juta yang berjaya dikumpul oleh kariah masjid sebelum ini.

“Jadi, dengan RM9 juta ini, kita boleh mula (projek). Saya akan panggil Pengarah JKR (Jabatan Kerja Raya) negeri dan dia akan hubungi Kementerian Kewangan dalam tempoh beberapa hari ini untuk mempercepatkan proses.

“Kalau ikut tender, akan ambil masa lama. Enam bulan, sembilan bulan. Jadi, dengan cara ini, kita boleh percepat proses (lebih awal),” ujar beliau.

Difahamkan, Masjid Lama Sungai Bakap telah dibina sekitar tahun 1950-an dan kini dianggarkan berusia 73 tahun manakala tapak masjid pula merupakan tanah yang telah diwakafkan untuk pembinaan masjid sejak tahun 1798.

Sementara itu, bangunan masjid baharu yang turut merangkumi beberapa bangunan lain dalam satu kompleks itu dijangka mampu menampung sehingga 1,500 jemaah.

Sekolah Agama Rakyat yang dilengkapi dengan 10 bilik darjah, sebuah dewan serbaguna yang boleh memuatkan sehingga 150 orang serta sebuah tempat letak kenderaan yang luas juga dijangka dibangunkan di situ. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI