PETALING JAYA – Perdana Menteri menegaskan kecerdasan buatan (AI) perlu berfungsi untuk memenuhi keperluan pembangunan sebenar negara.
Ini kerana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bagi memastikan kemajuan teknologi itu mampu menambah baik perkhidmatan awam dan meningkatkan produktiviti.
Pada masa sama katanya, teknologi itu juga perlu berperanan menyokong sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, pertanian dan kejuruteraan.
“Keutamaan yang lebih baik ialah keupayaan untuk menentukan di mana AI harus digunakan, di mana ia perlu dihadkan dan di mana pertimbangan manusia mesti kekal diutamakan,” katanya ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin di Universiti Tokyo yang disiarkan secara langsung di laman Facebooknya, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, AI tidak mempunyai matlamat yang ditetapkan sejak awal, tetapi terbentuk melalui keputusan manusia berasaskan undang-undang, institusi dan tanggungjawab moral.
“AI mesti berkhidmat kepada manusia dan memperkukuh nilai kemanusiaan, bukannya melemahkannya, dengan masyarakat mengekalkan nilai seperti kesedaran, tanggungjawab, integriti dan keprihatinan. Kita mesti membina sistem berkhidmat untuk manusia dan memperkayakan nilai kemanusiaan, bukan merendahkannya dan institusi kekal bertanggungjawab kepada mereka.
“Masyarakat pula perlu mengingati apa tidak boleh diwarisi oleh mesin bagi pihak kita iaitu kesedaran, tanggungjawab, integriti dan keprihatinan antara satu sama lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE














