fbpx

Liga Super: Kedah FC tundukkan Kelantan United 3-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain KDA FC meraikan jaringan gol dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Dua gol jaringan penyerang baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ifedayo Olusegun berjaya membantu Sang Kenari untuk menundukkan Kelantan United 3-1 di laman sendiri, sebentar tadi.

Seperti dijangkakan, pasukan tuan rumah terus menguasai perlawanan sebaik pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin meniup wisel permulaan.

Bagaimanapun, Sang Kijang Hijau tampil membuktikan betapa cabaran mereka tidak boleh dipandang mudah. Percubaan Jose Porteria dari luar kotak penalti singgah di palang ketika penjaga gol tuan rumah Kalamullah Al-Hafiz sudah pun tertewas.

Tersentak dengan percubaan berbahaya pihak lawan, KDA FC kemudiannya kembali ‘membetulkan’ keadaan apabila Ifedayo berjaya melakukan tandukan yang menewaskan Shahril pada minit ke-32 selepas menerima hantaran dari Kapten, Manuel Ott.

Bersambung di babak kedua, gol yang dinantikan penyokong tuan rumah akhirnya muncul pada minit ke-54. Hantaran lintang pemain pertahanan, Wan Amirul Afiq singgah tepat ke kepala Ifedayo untuk penyerang kelahiran Nigeria itu melakukan tandukan sekali gus menewaskan Shahril di sebelah kiri pintu golnya.

Jaringan kedua tuan rumah kemudiannya hadir pada minit ke-64. Hantaran lintang Fayadh meskipun terkena kepada kaki salah seorang pemain Kelantan United, tetap sampai kepada Ifedayo yang berada dalam kotak penalti untuk dia melakukan tolakan mudah ke gawang lawan.

Gawang Kelantan kemudiannya bocor buat kali ketiga pada minit ke-84. Pemain import dari Tajikistan, Amirbek Juraboev yang dimasukkan bagi menggantikan Moses Atede berjaya melepaskan rembatan padu dari dalam kotak penalti tanpa dapat dijangkau Shahril untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Kerja keras ditunjukkan penyerang import dari Nigeria, Ismaheel Akinade pada minit terakhir perlawanan bagaimanapun berjaya menghasilkan gol sagu hati buat pasukan pelawat bagi menjadikan keputusan muktamad 3-1 di bumi Darul Aman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI