KUALA LUMPUR – Penggunaan ‘kopi kuat’ dalam kalangan rakyat negara ini semakin meluas dan hanya tidak terhad kepada lelaki dewasa sahaja kerana kini mereka yang berusia awal 20-an turut terjebak meminum minuman campuran itu.
Minuman tersebut yang tidak diketahui bahan-bahannya menjadi pilihan orang muda kerana mampu memberikan tenaga luar biasa sehingga menyebabkan mereka ketagihan.
Lebih membimbangkan, ‘kopi kuat’ itu turut disamakan seperti pil viagra kerana mampu meningkatkan prestasi seksual menyebabkan ia menjadi ‘buruan’ meskipun kebanyakan produk tersebut diharamkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.
Walaupun dijual mahal pada harga mencecah RM7 satu peket bergantung kepada jenama berbanding kopi biasa, namun produk minuman itu mudah dibeli secara online menerusi media sosial dan platform e-dagang.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Lembah Klang mendapati beberapa kedai makan dan restoran dikesan menjual ‘kopi kuat’ itu.
Seorang pekerja restoran yang dikenali sebagai Aman berkata, ‘kopi kuat’ itu bukan sahaja digemari orang tua dan dewasa, malah turut disukai golongan muda seawal usia 20-an.
“Sebelum ini, orang tua yang selalu membeli kopi kuat, tapi sekarang ramai orang muda sudah pandai meminum kopi ini.
“Kebanyakan mereka terdiri daripada pelanggan tetap. Harga secawan ‘kopi kuat’ ialah RM6,” katanya ketika ditemui di Cheras di sini baru-baru ini.
Sementara itu, pengusaha kedai makan yang mahu dikenali sebagai Yusuf memberitahu, ‘kopi kuat’ mendapat permintaan yang tinggi, lebih-lebih lagi bagi individu sudah mendirikan rumah tangga.

“Rata-rata mereka (pelanggan) suka meminum ‘kopi kuat’ berbanding menelan pil kerana cara pengambilannya lebih mudah. Kesannya juga dikatakan amat memuaskan. Permintaan untuk produk ‘kopi kuat’ makin tinggi dalam kalangan orang muda terutama mereka yang sudah berkahwin,” ujarnya.
Yusuf memberitahu, setakat ini, belum ada mana-mana pihak yang mempersoalkan tindakannya menjual ‘kopi kuat’.
“Saya tidak tahu produk apa yang diharamkan. Jadi, saya teruskan jualan ‘kopi kuat’ ini seperti biasa,” ujarnya.
Bagi pekerja swasta dikenali Nasrul, 26, dia mengakui terjebak mengambil ‘kopi kuat’ lebih enam bulan lalu setelah diperkenalkan rakannya selepas kerap mengadu keletihan di tempat kerja.
“Mula-mula saya hanya sekadar mencuba dan terus ketagih, kesannya begitu luar biasa kerana dapat mengekalkan tenaga jika bekerja lebih masa. Selain itu ‘kopi kuat’ ini juga dapat memberikan tenaga luar biasa ketika bersama isterinya.
“Saya tidak berminat mengambil ubat (pil) kuat kerana bimbang dengan kesan sampingan. Jadi bila kawan cadangkan ‘kopi kuat’, saya bersetuju. Sekarang keadaan jadi sebaliknya sebab sudah ketagih. Kalau tak minum, badan rasa lain,” ujarnya.
Nasrul berkata, akibat kerap mengambil kopi kuat itu, dia mengalami kesakitan pada pinggang dan kepala.
Pelajar kolej dikenali sebagai Nabil, 23, turut mengakui terjebak meminum kopi ‘kuat’ selepas merasai kelainan apabila lebih bertenaga ketika melakukan aktiviti sukan.
Pemuda itu membelanjakan RM50 seminggu untuk meminum kopi kuat bagi menghilangkan ketagihannya. Kopi itu dijual pada harga RM5 hingga RM7 satu peket di media sosial.
“Badan saya rasa lebih bertenaga dan stamina juga meningkat terutama ketika bermain bola sepak atau futsal.
“Ada kawan tegur kenapa ambil kopi kuat kerana bimbang ada bahan terlarang, saya juga ada terbaca di media sosial cuma buat masa ini ia belum memudaratkan saya,” jelasnya.













