fbpx

Dua lelaki bawa 5 kg ganja dalam guni beras Serindit ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah jenis ganja yang dirampas bersama dua lelaki di kawasan pangkalan haram Kaloi, Gelang Mas dekat Pasir Mas, semalam. Foto IHSAN POLIS

PASIR MAS – Dua orang lelaki dicekup selepas didapati membawa sebanyak lima kilogram dadah jenis ganja bernilai RM15,500 semasa berada di kawasan pangkalan haram Kaloi, Gelang Mas, di sini semalam.

Kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan sepasukan pegawai bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas semasa menjalankan Op Tapis Khas di kawasan Meranti, di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, siasatan mendapati, salah seorang daripada suspek yang diberkas itu merupakan warganegara Thailand.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap mereka yang berada di kawasan pangkalan haram itu menemui guni beras yang berisi ganja seberat lima kilogram.

“Hasil semakan yang dilakukan mendapati, salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

“Kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kama Azural memberitahu, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini, untuk perintah reman bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, polis turut menahan empat lelaki dalam serbuan di kawasan semak berhampiran sawah padi di Kampung Slow Machang, di sini kelmarin.

Katanya, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 7 malam itu kemudiannya merampas sebanyak 60 biji pil kuda dan 15.93 gram dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM6,600.

“Kesemua suspek yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun. Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah,” katanya.

Tambah Kama Azural, keempat-empat lelaki itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI