fbpx

Azeem akan meletus pada Kejohanan ATF di Bangkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM dijangka meletus pada Kejohanan ATF di Bangkok selepas menunjukkan peningkatan cukup besar terutama dari segi teknik larian sejak berkelana hampir tujuh bulan di AS.

JURULATIH pecut negara, Mohd. Poad Md. Kassim percaya bintang pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi bakal ‘meletus’ pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Bangkok, Thailand yang membuka tirai secara rasmi hari ini.

Keyakinan itu hadir selepas Poad melihat perkembangan pelari pecut berusia 19 tahun itu yang berkelana hampir tujuh bulan di bumi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan peningkatan cukup besar terutama dari segi teknik larian.

Justeru, Poad yakin dengan kehadiran jurulatihnya, Ken Harnden yang diterbangkan dari AS itu mampu membantu Azeem memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit.

“Mengenai sasaran pingat, insya-Allah mungkin dapat disumbangkan menerusi acara individu. Ketika ini, kita lihat Azeem berada dalam keadaan baik kerana sepanjang sesi latihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kita dapat lihat perkembangan baik ke atas diri dia (Azeem).

“Saya harap dia dapat lakukan sesuatu, sekali gus boleh layak ke pentas Olimpik Paris secara merit. Insya-Allah, jika dia dapat saingan yang sengit di sana.

“Saya yakin, jurulatih Azeem (Harnden) tentu ada formula bagaimana nak memberi motivasi kepada Azeem pada kejohanan besar seperti ini. Jurulatih akan beri impak kepada Azeem di Bangkok nanti,” katanya ketika ditemui di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), ketika bertolak ke Bangkok kelmarin

Poad turut percaya kehadiran Azeem yang menyertai kem latihan skuad pecut kebangsaan selama dua minggu di UPSI bakal melonjakkan semangat rakan-rakan sepasukan untuk memburu kemenangan dalam acara 4×100 meter (m) di Bangkok.

Menjelang kejohanan itu, Azeem akan beraksi dalam acara 100 meter (m) dan 4x100m bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Muhammad Thaqif Hisham.

“Kehadiran Azeem sudah tentu memberi banyak impak kepada rakan-rakan lain dan mereka banyak belajar mengenai teknik larian Azeem. Perkembangan pelari yang lain juga agak baik terutama Thaqif.

“Melalui dua fasa latihan di UPSI, kita juga sudah menjalani latihan lari berganti-ganti dan ada perkembangan yang menarik, malah Thaqif yang menggantikan Haiqal Hanafi kerana mengalami kecederaan juga nampak serasi dengan kuartet ini,” kata Poad.

Sebagai rekod, Azeem meme­gang rekod kebangsaan 100m lelaki dengan catatan 10.09s yang dilakukannya di Cali, Columbia pada Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI