fbpx
ARMAN hampir menjadi waris kepada saka Nek Su selepas tuannya meninggal dunia. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Pemuda diganggu saka kehilangan tuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERING menjadi mangsa buli di sekolah membuatkan remaja itu suka bersendirian dan kurang bercampur dengan rakan seusianya.

Dibesarkan tanpa ayah dan hidup serba kekurangan, dia sering diejek sebagai ‘anak kutip’ dan ‘miskin’.

Oleh itu, Arman (bukan nama sebenar) lebih gemar duduk di rumah atau mengikut ibunya bekerja sebagai tukang masak di sebuah pusat penjagaan warga emas.

Di pusat penjagaan tersebut, remaja berasal dari Kuala Lumpur itu cukup akrab dengan penghuni di sana yang sudah menganggap dirinya seperti cucu sendiri.

“Saya suka mengikut ibu bekerja kerana warga emas yang tinggal di situ sangat baik. Saya dapat melupakan ejekan dan pembulian semasa di sekolah.

“Datuk dan nenek di pusat tersebut sering bercerita tentang kisah silam mereka sebagai modal untuk berborak,” katanya.

Dalam kalangan warga emas yang ada di pusat penjagaan itu, terdapat seorang nenek yang suka menyendiri dan hanya duduk di dalam bilik.

Arman pernah cuba menegurnya, namun wanita itu tidak pernah menjawab mahupun melemparkan secebis senyuman.

Wajah nenek itu sering kelihatan sugul dan ada ketikanya menyeramkan. Ada pernah satu ketika, dia meracau seperti orang gila membuatkan pusat penjagaan sedikit kecoh.

Pada suatu hari, ketika Arman mengikuti ibunya ke tempat kerja, nenek yang dikenali sebagai Nek Su itu mendatangi dirinya.

“Pada hari itu saya terus ke tempat kerja ibu dalam keadaan yang sangat tertekan kerana dibuli dan dimalukan oleh rakan-rakan di sekolah.

“Oleh kerana saya sering pendam apa yang berlaku, hari itu saya duduk sendirian di belakang bangunan pusat penjagaan sambil menangis,” ujarnya.

Tambahnya, ketika itu dia mendengar suara Nek Su yang tiba-tiba ada di sebelah dan cuba menenangkannya.

Walaupun keadaan itu agak asing kerana wanita tersebut tidak pernah menegurnya, namun Arman berasa tersentuh apabila ada yang peduli tentang dirinya.

Bagaimanapun, keadaan bertukar sedikit pelik apabila Nek Su terus menanyakan soalan tentang dirinya yang dibuli di sekolah.

Arman bingung kerana dia tidak pernah menceritakan perkara itu kepada sesiapa, namun tetap mengiakan pertanyaan Nek Su.

Nek Su dalam senyum memberitahu Arman bahawa dia boleh membantunya memberi pelajaran kepada pembuli di sekolah.

Dalam keadaan curiga, Arman tetap mahu mengetahuinya dan mendengar penjelasan Nek Su.

“Begini, belikan Nek Su kemenyan dan bawakan apa-apa sahaja barang yang dimiliki oleh pembuli itu.

“Esok nenek akan bantu cucu, kita ajar pembuli itu,” tutur Nek Su.

Keesokan harinya, Arman memberikan barang yang diminta termasuk pensil milik pembuli di sekolahnya.

Tidak mengetahui apa yang dilakukan wanita itu, Arman kemudian pulang ke rumah.

Namun, keadaan berubah semasa dia ke sekolah pada esoknya apabila mendapati pembuli tersebut tidak hadir kerana sakit misteri.

Pulang dari sekolah, Arman terus pergi menemui Nek Su, tetapi alangkah terkejutnya dia mengetahui wanita itu sudah meninggal dunia.

Arman bingung tentang semua yang berlaku dan hanya mendiamkan diri.

Pada waktu malam semasa di rumah, Arman merasakan sesuatu yang pelik, bulu romanya merinding seolah diperhatikan oleh seseorang.

Ketika sedang tidur, dia bermimpi didatangi Nek Su, wanita itu kelihatan sangat menyeramkan seperti nenek kebayan dalam cerita dongeng.

“Cu, nenek datang ni nak tuntut cucu jadi pewaris. Nenek sudah tolong cucu, jadi cucu kena tolong nenek,” kata wanita itu dalam mimpi Arman.

Dalam keadaan takut, Arman menolak permintaan tersebut. Arman kemudian dikejutkan oleh ibunya yang mendengar dia meracau.

Arman menceritakan segala yang berlaku kepada ibunya yang turut terkejut dengan perkara itu.

“Keesokan harinya, ibu membawa saya bertemu seorang ustaz dan kami diberitahu bahawa saya diekori oleh saka Nek Su yang mahukan pewaris.

“Kata ustaz itu, Nek Su memang menyasarkan saya untuk mewarisi sakanya. Dia cuba ‘memancing’ dengan membantu menyihir pembuli di sekolah,” kata Arman.

Bagi mengelakkan diganggu saka tersebut, ustaz melakukan rawatan terhadap Arman dan turut mengajarkannya beberapa ayat dari al-Quran sebagai pendinding diri.

Kongsi Arman, setelah itu dia tidak lagi diganggu saka Nek Su meskipun dalam mimpi. Malah, pembuli tersebut sudah sembuh daripada penyakit misteri yang dialaminya.

“Alhamdulillah, sudah 15 tahun perkara itu berlalu dan saya jadikannya pengajaran supaya tidak mudah terlibat dalam aktiviti mistik yang mencurigakan.

“Walaupun pernah hampir menjadi waris saka, namun saya tetap mendoakan kesejahteraan Nek Su supaya dia tenang di alam sana,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN