fbpx
GAMBAR HIASAN/AFP

Kahwin lewat, gemuk punca tak subur, sukar dapat anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Tahap kesuburan penduduk negara ini yang semakin menurun setiap tahun menyebabkan ramai pasangan berkahwin sukar untuk mendapatkan zuriat walaupun telah beberapa tahun mendirikan rumah tangga.

Lebih membimbangkan apabila masalah tersebut banyak dikaitkan dengan gaya hidup pasangan termasuk trend perkahwinan lewat dalam kalangan wanita.

Mengikut data Jabatan Perangkaan, Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) bagi wanita sepanjang tempoh reproduktif menunjukkan penurunan daripada 4.9 bayi pada 1970 kepada 1.7 bayi pada 2021.

TFR merupakan indikator demografi yang digunakan untuk menganggarkan purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang wanita selama tempoh reproduktifnya.

Pakar Perubatan Reproduktif dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Vistana Ferti­lity Centre, Alor Setar, Dr. Murizah Mohd. Zain mendedahkan, beliau sendiri menerima 400 hingga 500 kes setahun untuk pelbagai rawatan termasuk ujian-ujian kesuburan, rangsangan ovulasi, inseminasi intrauterin (IUI) dan persenyawaan in-vitro (IVF).

Tambahnya, mereka banyak mengendalikan rawatan kesubu­ran melibatkan pasangan seawal usia 26 tahun hingga 40-an.

“Sebanyak 85 peratus dari­pada pasangan yang baru berkahwin dan mempunyai tahap kesuburan normal berjaya mendapatkan anak dalam tempoh setahun mencuba, bakinya kira-kira 15 peratus lagi gagal ke­rana mempunyai masalah seperti ketidaksuburan.

“Saranan kami kepada yang tidak berjaya hamil dalam tempoh setahun itu agar segera lakukan pemeriksaan dengan pakar untuk kenal pasti masalah sebenar. Bagi pasangan berusia lebih 35 tahun, tempoh menunggu enam bulan sudah mencukupi,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.

AFP

Bagaimanapun katanya, masih terdapat pasangan yang enggan melakukan ujian mahupun rawatan kesuburan atas pelbagai faktor termasuk takut selain bimbang dengan hasil keputusan pemeriksaan.

“Pasangan yang datang untuk rawatan tidak perlu takut untuk berhadapan dengan keputusan.

“Di samping itu ada juga pasangan yang tidak membuat rawatan kerana sibuk bekerja, selain ada yang tidak kisah tentang anak kerana menganggap masih muda selain kekangan kewa­ngan,” ujarnya.

Ditanya mengenai punca ketidaksuburan, beliau memberitahu, ia boleh disebabkan pelbagai faktor termasuk trend kahwin lewat kerana tahap kesu­buran wanita bergantung pada usia dengan kemuncak subur pada usia 25 hingga 30 tahun.

“Selepas usia 30 tahun, kadar kesuburan wanita akan menurun dan pada usia 40 tahun tahap kesuburan adalah sangat rendah,” jelasnya.

Katanya, gaya hidup tidak sihat juga menyumbang kepada ketidaksuburan yang mana ia akan menyebabkan kuantiti dan kualiti sperma lelaki menurun.

“Obesiti, masalah kesihatan, perokok konvensional atau vape, tekanan hidup dan corak tidur yang buruk turut menyumbang,” katanya.

Untuk rekod, jumlah wanita yang berkahwin pada usia 30 hingga 39 di seluruh negara pada tahun 2021 adalah seramai 42,374 orang, manakala jumlah lelaki bagi lingkungan umur yang sama pula seramai 58,664 orang.

Menurut Dr. Murizah lagi, faktor lain ketidaksuburan wa­nita adalah masalah kesihatan berkaitan ovulasi, rahim dan saluran peranakan.

Tambahnya, antara rawatan yang boleh dilakukan adalah modifikasi tingkah laku, pemberian ubat hormon, IUI atau permanian berhadas dan IVF iaitu kaedah bayi tabung uji.

“Modifikasi tingkah laku itu antaranya adalah memberi panduan kepada pasangan untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, bersenam dan kurangkan berat badan.

“Sebahagian pesakit berjaya hamil selepas melakukan modifikasi tingkah laku tanpa membuat rawatan kesuburan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kegembiraan sepasang suami isteri berusia 43 tahun apabila dikurniakan bayi perempuan setelah melakukan IVF di pusat rawatan kesuburan itu.

“Alhamdulillah, rezeki pasa­ngan itu yang akhirnya berjaya mendapat cahaya mata selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN