PETALING JAYA – Pengguna media sosial terbaharu, Thread menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerbeg yang diancam saman oleh Twitter.
Tinjauan di platform tersebut mendapati, rata-rata pengguna turut menyatakan mereka lebih suka menggunakan aplikasi tersebut yang baru sahaja dilancarkan kelmarin.
“Bagus aplikasi Thread, lagi senang dari Twitter. Lebih kurang macam Facebook dan sesuai untuk yang suka menulis,” kata Madie.
“Thread boleh tulis 500 huruf lebih panjang dari Twitter, boleh kongsi pautan, gambar dan video hingga 300 saat. Siap pautan dengan Instagram,” kata Shah.
“Untuk yang suka menulis kata-kata, info pendek boleh guna Thread. Bagi aku lagi senang nak guna berbanding Twitter. Terima kasih Mark!,” kata Hani.
“Kalau benar Mark kena saman dengan Elon, kami sokong Mark sebab Twitter banyak buat masalah sekarang contohnya tiba-tiba kena ‘exceeded limit’!,” kata Zues.
“Kami suka Thread! Harap Mark tidak buat fungsi ‘direct message’ di sini,” kata Alizah.
Terdahulu, Twitter mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Meta Platforms susulan pelancaran aplikasi Threads.
Portal berita Semafor melaporkan, surat saman tersebut dihantar oleh peguam lantikan Twitter, Alex Spiro.
Dalam surat tersebut Spiro mendakwa, Meta telah mengupah bekas kakitangan Twitter yang memiliki akses kepada rahsia perniagaan aplikasi media sosial itu. – KOSMO! ONLINE














