fbpx

Mahkamah: Permohonan Rosmah tangguh pendengaran rayuan dibenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Rayuan, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Prosiding pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengetepikan sabitan kes rasuah yang dijadualkan berlangsung minggu depan ditangguhkan di Mahkamah Rayuan, di sini hari ini.

Sebelum ini Mahkamah Rayuan telah menetapkan selama empat hari bermula 11 hingga 14 Julai ini untuk mendengar rayuan berkenaaan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi selepas membenarkan permohonan Rosmah, 72, selaku pemohon untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu.

Dua lagi panel hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy.

Ketika memutuskan demikian, Hakim Azizah berkata, permohonan pihak pembelaan Rosmah bagi membolehkan rayuan berhubung pelantikan (fiat) mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes berkenaan diputuskan Mahkamah Persekutuan terlebih dulu.

“Ini adalah permohonan kali pertama dibuat Rosmah untuk tangguhkan prosiding rayuan sementara menunggu satu lagi kes rayuan di Mahkamah Persekutuan. Memandangkan pihak pendakwaan tiada bantahan berhubung permohonan itu, mahkamah membenarkannya. Pengurusan kes seterusnya pada 18 September,” katanya pada pendengaran keputusan permohonan Rosmah, hari ini.

Terdahulu, peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, berkata permohonan itu dibuat dengan niat baik tanpa bertujuan melengahkan prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan, selain menegaskan rayuan di Mahkamah Persekutuan perlu dilupuskan (Sri Ram) terlebih dahulu.

Untuk rekod, pada 22 Jun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah bagi kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram yang didakwa tidak sah, dan seterusnya menjadikan perbicaraan kesnya turut terbatal.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai, mengesahkan tidak menerima sebarang arahan untuk membantah permohonan terbabit.

Pada 1 September tahun lalu Rosmah, 71, dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah tersebut.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmah selepas mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan itu.

Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 30 tahun.

Semasa perbicaraan itu pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Kemudian pada pada 13 Oktober tahun tahun sama, Rosmah memfailkan rayuan dengan mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa Hakim Mohamed Zaini yang mendengar kes itu merumuskan pembelannya adalah penafian kosong (bare denial). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI