fbpx

ISP digesa patuhi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – SKMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memandang serius berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi yang kian meningkat.

MCMC dalam kenyataan di sini berkata, bagi menangani isu ini, pihaknya telah mengambil tindakan dan menekankan kepada Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) mengenai kewajipan dan tugas mereka di bawah Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Katanya, Seksyen 263 AKM 1998 menegaskan agar ISP memberi komitmen sepenuhnya menghalang perkhidmatan yang digunakan oleh mereka untuk sebarang kesalahan, mencegah kelakuan atau percubaan melakukan kesalahan di bawah undang-undang negara.

Selain itu, mereka juga diminta untuk memperuntukkan sumber yang mencukupi dan kepakaran untuk segera memastikan keperluan seksyen ini dipenuhi.

“ISP perlu memenuhi sebarang permintaan atau arahan daripada SKMM dalam menghalang kelakuan atau percubaan melakukan sesuatu kesalahan dengan mana-mana undang-undang bertulis Malaysia atau sebaliknya dalam menguatkuasakan undang-undang, perlindungan hasil pendapatan awam dan pemeliharaan keselamatan negara,” katanya, hari ini.

Jelasnya, ISP turut diminta untuk menyediakan pelan tindakan serta laporan bagi langkah-langkah yang telah diambil bagi menangani isu-isu kandungan dalam talian yang menyalahi undang-undang negara.

Katanya, usaha ini memastikan keselamatan maklumat dan untuk mengekalkan integriti rangkaian.

“Aspek yang ditekankan adalah penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak, perjudian dalam talian, kandungan yang menggugat kestabilan kaum dan kepentingan agama serta penghinaan terhadap institusi diraja, penipuan dan phishing, penjualan dan promosi dadah dan bahan terlarang.

“Ia juga melibatkan penyamaran, penyebaran maklumat palsu dan berita, dan penjualan produk kesihatan tanpa lesen,” ujarnya.

Tambahnya, menurut Seksyen 244 AKM 1998, bukan sahaja organisasi itu sendiri tetapi pengarah, ketua pegawai atau individu yang mentadbir sesebuah syarikat mungkin dihadapi pertuduhan jika mereka dengan sengaja melakukan aktiviti jenayah selepas dimaklumkan.

“Peruntukan ini bertujuan mengelakkan penyalahgunaan platform internet bagi tujuan yang menyalahi undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI