fbpx

Harimau Selatan idam ratah-ratah skuad Rusa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JORDI mendedahkan skuad JDT telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan pasukan meneruskan rentak kemenangan menjelang aksi menentang Negeri Sembilan malam esok.

JOHOR BAHRU – Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat mahu pastikan skuad Rusa menjadi ‘korban’ seterusnya apabila menerima kunjungan Negeri Sembilan bagi aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok (Sabtu).

Jordi memberitahu, Harimau Selatan kini berada di tahap terbaik selepas mencatatkan kemenangan besar menewaskan Kuala­ Lumpur City FC (6-1), Selangor FC (4-0) Penang FC (5-0) ketika beraksi di laman sendiri.

Menjelang pertemuan Negeri Sembilan, pemain pertahanan tengah itu berkata, JDT telah melakukan persiapan rapi bagi memastikan pasukan meneruskan rentak kemenangan sekali gus menjadikan SSI sebagai ‘fortress’ digeruni lawan.

“Pasukan mencatatkan kemenangan selesa ketika berdepan aksi sukar menentang KL City FC baru-baru ini menyuntik sema­ngat buat rakan sepasukan untuk terus momentum kemenangan tanpa mengira lawan kami.

“Kami menganggap setiap perlawanan adalah penting dan lawan yang kami hadapi sebagai pasukan yang kuat, mentaliti ini membuatkan kami lebih ber­hati-hati dan sentiasa konsisten setiap perlawanan.

“Sebagai pasukan yang dihormati lawan, kami mempunyai tanggungjawab untuk menjaga reputasi JDT dan kami akan pastikan setiap pasukan dihadapi dengan penuh keyakinan dan berintensiti tinggi,” katanya.

Jordi memberitahu, pasukan berada dalam mood positif setelah proses pemulihan me­nyaksikan tidak ada pemain yang bergelut kecederaan dan cergas sepenuhnya untuk diturunkan berdepan Negeri Sembilan.

Ditanya mengenai kekuatan skuad kendalian K. Devan, Jordi­ memberitahu, kelab enggan men­tafsir apa yang dilakukan lawan sebaliknya memberi tumpu­an kepada latihan intensif yang diterapkan ketua jurulatih, Esteban Solari.

Tambahnya, dia berharap penjaring terbanyak JDT, Fer­nando Forestieri akan kembali me­nyertai pasukan setelah dike­tepikan pada aksi terdahulu ke­rana kurang cergas sepenuhnya.

“Kecederaan yang dialami Fo­restieri tidak begitu serius dan harapnya dia dapat diturunkan dan menjadi penggempur utama merobek gawang lawan, sekali gus mengekalkan rekod menang 100 peratus,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI