fbpx

Geng Indren sasar ragut warga emas tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno (dua dari kiri) menunjukkan motosikal digunakan geng Indren ketika ragut seorang warga emas di sekitar Kepong, 28 Jun lalu. - Foto oleh FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perancangan licik seorang lelaki dikenali sebagai Indren bersama dua rakan melakukan samun di sekitar Lembah Klang mengundang padah apabila ditahan polis dalam serbuan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian ragut membabitkan seorang lelaki berusia 74 tahun, di sekitar Kepong, 28 Jun lalu.

Katanya, susulan daripada kegiatan ragut yang semakin berleluasa, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul melancarkan Op Sentap untuk membanteras kegiatan ragut.

“Hasil risikan dilakukan membawa kepada satu serbuan dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 19 hingga 21 tahun di sebuah apartment di Kepong, kelmarin.

“Ekoran tangkapan tersebut, turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda RS-X FS150 warna merah dan pakaian suspek ketika kejadian,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Menurut beliau, modus operandi sindiket ini didalangi oleh tiga lelaki tempatan yang diketuai oleh suspek dengan nama panggilan Indren berusia 20 tahun.

“Sindiket akan meragut di kawasan terbuka tepi jalan dengan mensasarkan penunggang dan pembonceng motosikal warga emas yang menggalas beg atau meletakkan beg di dalam bakul motosikal.

“Setelah mengenal pasti sasaran, suspek bertindak menunggang secara rapat dengan motosikal yang ditunggangi oleh mangsa manakala suspek yang membonceng motosikal akan menarik beg mangsa,” katanya.

Kata Ahmad Sukarno, kegiatan ini juga dijalankan secara berkumpulan dan wang hasil yang diperolehi akan dibahagikan sesama mereka untuk perbelanjaan harian serta membeli dadah.

“Kesemua suspek positif dadah dan semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod.

Tambah Ahmad Sukarno, sebanyak empat kes ragut yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan satu kes samun berlaku di Sri Muda Shah Alam yang tular di media sosial.

“Kesemua suspek direman untuk membantu siasatan lanjut di siasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI