fbpx

Tragedi kepala air: Operasi SAR diteruskan biarpun cuaca buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota pasukan SAR sedang melakukan pencarian baki dua mangsa di Sungai Air Putih, Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Operasi hari kelima mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini hari ini diteruskan meskipun berdepan cuaca buruk berikutan hujan.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, seramai 279 anggota pelbagai agensi dan orang awam digerakkan bagi mencari mangsa.

Beliau berkata, tumpuan pencarian diberikan di sektor A iaitu di lokasi kejadian, Jeram Mawar sehingga Jambatan Kampung Teladas di sini sepanjang 6.3 kilometer.

“Kita juga akan membuat pencarian di sektor B bermula dari belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Putih sehingga kawasan perangkap sampah Sungai Pinang,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Air Putih di sini hari ini.

Dua lagi mangsa yang belum ditemui ialah Putri Nor Fatin, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24. Muhammad Fikri merupakan tunang kepada salah seorang mangsa iaitu Putri Balqis Izzati.

Azman berkata, pencarian juga akan melibatkan enam ekor anjing pengesan bomba dan polis serta satu unit dron.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan sembilan sekeluarga dihanyutkan kepala air sewaktu berkhemah di Jeram Mawar pada Sabtu lalu.

Setakat ini, lapan mayat mangsa iaitu Karim Abdullah, 39, dan Azizah Eiyi, 40, serta enam anak mereka ditemui. Jenazah kesemua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Pahang semalam dan kelmarin. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI