IPOH – Taktik licik peminta sedekah kini menggunakan sentimen simpati dengan mendekati orang ramai untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mereka yang berbaki RM10 dan RM20.
Bagaimanapun, apabila disemak baki wang simpanan peminta sedekah berkenaan, ia sentiasa berada di paras RM10 atau RM20, sekali gus percubaan untuk mengeluarkan wang bagi membolehkan mereka membeli barangan tidak dapat dilakukan.
Atas dasar simpati, sesetengah orang ramai akan menghulurkan wang poket bagi membantu peminta sedekah meneruskan kehidupan.
Tinjauan Kosmo! Ahad di beberapa buah bank serta lokasi mesin ATM di bandar ini mendapati, golongan peminta sedekah tersebut mula mencari mangsa apabila tempat berkenaan mula dipenuhi orang ramai.
Setelah selesai ‘mengutip wang’ daripada seorang mangsa, peminta sedekah warga emas itu akan menunggu buat seketika sebelum mendekati individu yang lain pula dan dipercayai mereka mampu mengaut lebih RM100 dalam sehari.
Menurut seorang mangsa penipuan tersebut, Ilyas Hamidi, 36, dia telah beberapa kali didekati oleh ‘pakcik’ atau ‘makcik’ yang meminta tolong daripadanya untuk mengeluarkan wang simpanan di ATM.
“Cara golongan itu bercakap cukup yakinkan saya, bahkan penampilan mereka juga baik dan tidak tunjuk mereka adalah penipu.
“Jadi pada kali pertama didatangi golongan itu dan diminta tolong untuk keluarkan wang dalam akaun, saya terus sahaja buat,” katanya semalam.
Jelasnya, rasa simpati timbul apabila dia mendapati baki simpanan warga emas itu tidak mencukupi untuk membeli barangan keperluan harian sebagaimana didakwanya.
“Individu itu memaklumkan keluarganya bergantung harap kepadanya bagi membeli barangan keperluan seperti bahan makanan, dan sepatutnya wang di dalam akaunnya mencukupi untuk tujuan itu.
“Tanpa banyak soal saya hulur duit saya sendiri dan anggap itu sedekah, tetapi tidak sangka pula hari lain dia buat taktik sama kepada orang lain pula,” jelasnya.
Keadaan sama turut dialami Nik Najwa Ibrahim, 42, yang sebelum ini juga pernah sedekahkan sejumlah wang kepada seorang wanita di sebuah pasar raya di sini.
“Saya memang tak sangka akan ditipu seperti itu. Mula-mula dia minta saya ambil duit di ATM untuk beli barang rumah, bila saya bagi tahu baki hanya RM10, dia buat muka sedih.
“Saya hulur duit saya sendiri, tidak sangka, rakan sepejabat pula kena macam saya,” jelasnya















