BENTONG – Harga durian musang king di Pahang naik mendadak dengan jualan borong raja buah itu mencecah RM120 sekilogram ketika ini.
Dengan harga terkini itu, jualan runcit bagi sebiji durian musang king gred A adalah RM200 sekali gus menjadikan ia sebagai buah ‘kayangan’ sekarang.
Seorang penjual durian musang king yang mahu dikenali sebagai Chiew berkata, disebabkan harga raja buah itu yang tinggi, dia tidak lagi mengambil durian musang king untuk dijual secara runcit pada masa ini.
Menurut Chiew, dia hanya mengambil durian musang king dari ladang di Raub sekiranya menerima tempahan daripada pelanggannya.
“Walau bagaimanapun mereka yang membuat tempahan perlu membayar terlebih dahulu.
“Memang ramai terutamanya orang luar yang singgah di gerai saya dan bertanyakan tentang durian musang king. Apabila mengetahui harga yang tinggi mereka terkejut.
“Saya tidak mahu mengambil risiko ‘borong’ musang king kerana harganya terlalu mahal, mungkin pada September ini bila harganya kembali stabil baru saya akan jual semula,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, seorang peraih durian dari Kuala Lumpur, Nazari Hashim, 50, memberitahu, meskipun harga meningkat mendadak ketika ini, namun dia masih menerima tempahan daripada beberapa individu di Kuala Lumpur yang mahu membeli musang king.
Jelasnya, dia menghantar kira-kira 200 biji musang king berharga RM20,000 yang ditempah seorang individu di ibu negara kelmarin.
“Alhamdulillah proses jual beli berjalan lancar dan tempahan semalam (kelmarin) adalah yang terbesar saya terima pada tahun ini.
“Saya akan mengambil buah musang king jika ada tempahan memandangkan harga buah yang begitu tinggi sekarang,” katanya.
Seorang lagi penjual durian, Ahmad Nafri Masrom berkata, peraih dan penjual durian begitu terkesan dengan kenaikan harga kerana perlu mengikut harga yang ditetapkan pekebun.
Katanya, dalam keadaan sekarang orang ramai tidak boleh menyalahkan peniaga yang terpaksa menjual pada harga tinggi disebabkan harga dari kebun juga sudah tinggi dan sukar dijangka.
“Musim durian di Raub ini dikira sudah di hujung musim dan buah semakin kurang, tetapi permintaan tinggi dan bertambah teutama pada musim cuti sekolah.
“Malah difahamkan, ada permintaan dibuat pada harga lebih tinggi dari negara jiran Singapura dan Indonesia menyebabkan kita terpaksa ikut harga mereka,” ujarnya.














