JIKA disebut nama Sharifah Husna, barangkali populariti yang dimilikinya tidak sehebat beberapa pendatang baharu lain.
Tidak pernah langsung terpalit dengan gosip panas atau kontroversi yang makan diri. Itu gambaran perjalanan seni aktres berusia 30 tahun itu.
Sedar belum berkesempatan untuk mendakap populariti seperti orang lain, dia bagaimanapun tetap menyatakan syukur dengan pencapaian yang diraih sehingga hari ini.
Tidaklah mendapat trofi anugerah tetapi baginya, tawaran lakonan yang diterima tanpa henti juga cukup membuktikan bakat seninya diiktiraf pengarah dan penerbit tanah air.

Masakan tidak, dia baru selesai menjalani penggambaran di Indonesia bagi sebuah projek filem seram berjudul Waru The Movie.
Bukan mudah mendapat tempat berlakon di negara jiran dan itu sekali lagi membuktikan setiap percaturannya dalam bidang seni tidak sia-sia.
Baginya, menjaga disiplin adalah prinsip utama yang paling ditekankan setakat ini.
Jaga disiplin
“Walaupun hampir empat tahun memahat nama dalam industri, saya tetap merasakan diri masih ‘hijau’.
“Satu benda yang saya pegang sehingga hari ini ialah jaga disiplin sepanjang bekerja. Itu yang banyak kali dititipkan oleh pelakon senior lain,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Anggun menyarung gaun labuh berwarna kelabu, pelakon drama Ryan Aralyn itu memberitahu, dia merupakan individu yang sangat peka dalam aspek ketepatan masa, tidak kiralah sama ada ketika di set penggambaran atau kerja lain.
Alasannya mudah, menurutnya, perkara itu mampu memberi rekod baik dalam portfolio kerjaya selain turut memudahkan urusan orang lain.
“Sejak dari awal menapak dalam dunia seni, saya sangat cerewet soal masa. Sebab masa itu emas.
“Paling takut menyusahkan orang lain dan disebabkan itu, ketepatan masa adalah salah satu disiplin hidup saya.

“Selain itu, saya juga terbuka untuk menerima teguran daripada pelakon senior di set penggambaran sebab semua itu adalah ilmu yang sangat berguna,” ujarnya.
Dia bagaimanapun mengharapkan penyampaian ilmu tersebut dilakukan dengan cara yang betul dan bukannya dalam bentuk ‘membuli’.
“Kalau orang tegur, saya akan dengar dan simpan semua itu dalam otak. Disebabkan teguran-teguran itulah saya berjaya sampai ke tahap sekarang.
“Pernah juga alami pengalaman buruk seperti dibuli pelakon senior di set penggambaran tetapi saya tidak ambil hati.
“Pada masa depan, saya tidak akan jadi individu sebegitu,” katanya yang enggan mendedahkan secara terperinci perihal terbabit.
Jack Yusof
Berkongsi pula taruhan terbaharunya, Jack Yusof, dia mengakui teruja dengan projek tersebut yang memberinya peluang bergandingan bersama pelakon terkemuka, Datuk Rosyam Nor.
Kongsinya, Jack Yusof memberi pengalaman berbeza selain pertama kali mencabar diri berlakon dalam drama bergenre komedi arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin.
“Cerita komedi memang antara genre yang saya idamkan sebab terlalu kerap bermain dengan watak psiko, penggoda dan protagonis.
“Jadi, apabila saya ditawarkan, memang terus sambar. Pengarahnya pula Wan Hasliza dan digandingkan pula dengan Rosyam. Siapa yang mahu tolak rezeki?” tuturnya.
Kendatipun bergenre komedi, dia berpendapat Jack Yusof sarat dengan nilai-nilai moral yang boleh dikutip dan dijadikan iktibar kepada penonton.
“Banyak isu sebenarnya yang dikupas dalam drama lapan episod ini contohnya isu anak perempuan yang mencari bapa kandungnya sebagai wali untuk dia bernikah.
“Jadi, mesej-mesej tersebut antara yang menjadi penguat kepada jalan cerita Jack Yusof.
“Rosyam yang menjadi bapa saya dalam drama ini banyak sangat membantu dan memberi tips lakonan,” katanya menutup perbualan.














