fbpx
Gambar hiasan

Persamaan ibadah haji dan korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Semalam umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha sekali gus menyaksikan ramai antara kita yang melaksanakan sembelihan ibadah korban.

Di sana sini kita melihat umat Islam bergotong-royong menumbang dan menyembelih lembu, kambing atau apa jua haiwan an’am. Ia satu kemeriahan ibadah yang setahun sekali dapat disaksikan.

Nun di Semenanjung Arab pula, jutaan umat Islam dari seluruh dunia yang selesai melaksanakan haji di Mekah merafak kesyukuran dapat menyempurnakan rukun Islam kelima yang diwajibkan kepada setiap Muslim yang istitoah yakni berkemampuan.

Sekali imbas, dari segi bentuk kelakuan atau perbuatan, ibadah korban yang disatukan bersama haji sempena Hari Raya Aidiladha ini bagai tiada apa-apa persamaan. Apa kaitan antara orang berangkat ke Tanah Suci menunaikan haji dengan menyembelih haiwan?

Bahkan, penulis percaya pasti ramai juga antara kita semasa kecil dahulu berasa keliru apabila menyebut ‘Hari Raya Haji’ itu juga ‘Hari Raya Korban’ kerana sulit menghadam persamaan antara haji dan korban.

Jika kita mendasari kedua-duanya, ternyata percaturan Allah sungguh cantik apabila menggandingkan dua ibadah ini dalam perayaan besar Aidiladha yang tanpa kita sedar mempunyai persamaannya.

Pertama adalah dari segi sejarah, sedar atau tidak, ia seputar kisah junjungan Nabi Ibrahim AS. Boleh dikatakan hampir kesemua perbuatan dalam ibadah haji berkait peristiwa Nabi Ibrahim dan keluarga baginda.

Misalnya, perbuatan melontar jamrah mengulangi perbuatan baginda melontar batu ke arah Iblis yang cuba menghalangnya melaksanakan perintah Allah, manakala bermalam di Muzdalifah kerana di situlah Nabi Ibrahim bermimpi menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS yang seterusnya membawa kepada pensyariatan ibadah korban.

Ibadah korban yang dilakukan umat Islam seluruh dunia dari segi latar sejarahnya sendiri cukup signifikan dengan kejayaan mereka yang menunaikan haji di Mekah.

Kedua, dari segi nilai simpati dan empati yang kuat. Kedua-dua ibadah ini menzahirkan kesatuan umat Islam yang sentiasa menggalakkan sifat kepedulian sesama insan.

Daging-daging korban diagih-agihkan terutama kepada golongan yang memerlukan. Ia membolehkan fakir miskin menikmati daging yang boleh dikatakan ‘makanan mewah’ bagi mereka yang daif.

Haji pula, misalnya dalam ibadah wukuf di Arafah kesemua jemaah berhimpun dengan penampilan sama.

Ia merupakan proses pentarbiahan tentang solidariti sosial dan ukhuwah islamiyah. Nilai empati terserlah apabila kita semua merasakan diri sama, tidak kira darjat, bangsa, keturunan, paras rupa, warna kulit dan sebagainya.

Ketiga, kedua-dua ibadah ini melibatkan kemampuan. Ia hanya dilakukan bagi yang mampu.

Lihat, dalam pada kita bertaqarrub kepada Allah dengan mengorbankan rasa megah diri, tamak dan bakhil, umat Islam diingatkan bahawa aspek ekonomi dan kewangan juga penting.

Di situlah kita lihat Islam itu ditunjangi kesederhanaan, keseimbangan serta semangat ‘tangan di atas’ yang boleh memberi kepada ‘tangan di bawah’ juga menjadi kekuatan.

Di dunia ini, kita harus menerima hakikat ada orang ditakdir atau direzekikan kaya dan ada orang yang miskin, namun pengakhirnya kita semua sama. Penentunya nanti ‘di sana’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN