fbpx

Mahkamah: 10 hari bicara pengarah syarikat berhubung projek KDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Choo Thiam ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada Mei lalu.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan pengarah syarikat, Datuk Seri Sim Choo Thiam atas empat tuduhan rasuah RM15 juta berhubung projek milik di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditetapkan selama 10 hari bermula Mei tahun depan.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 10 Mei serta 13 hingga 17 Mei 2024.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh berkenaan.

“Sebelum bicara bermula, pihak-pihak (peguam Choo Tiam dan pendakwaan) ada masa untuk membuat sebarang permohonan berkaitan kes berkenaan,” katanya.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh memaklumkan pihaknya telah mengemukakan surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 6 dan 19 Jun, bagi meminta agensi itu memberikan butiran terperinci berhubung tuduhan terbabit.

“Tiada perkembangan daripada pendakwaan berhubung surat bertarikh 6 Jun. Kita kemukakan satu lagi surat bertarikh 19 Jun untuk dipertimbangkan apa yang dimohon, namun tiada juga respon. Atas sebab itu, kami akan memfailkan dua permohonan di mahkamah dengan mengambil kira Seksyen 153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah (CPC),” katanya.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad, mengesahkan menerima surat terbabit, namun tiada keperluan untuk membalasnya.

“Surat sudah diterima. Berkaitan perkara ini, arahan diterima supaya mengekalkan butiran tuduhan itu.

“Setakat ini, kami ada 20 saksi pendakwaan dan akan menggunakan pernyataan saksi untuk bicara nanti,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Choo Thiam, 53, didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn. Bhd. Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah KDN.

Tertuduh juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Kim Hong) sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di dua lokasi berbeza di pejabat Shaas Holdings dan kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan berserta syarat tambahan selain turut disenaraihitam dari ke luar negara kecuali dengan kebenaran mahkamah sehingga pelupusan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI