fbpx

Mahkamah: Penyelia tapak pembinaan didakwa pukul pekerja kedai serbaneka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Divagaran (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini. Foto oleh FARIZ ROSADIO/KOSMO!

KAJANG – Seorang penyelia tapak pembinaan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pekerja kedai serbaneka di Semenyih yang mana kejadian itu tular minggu lalu.

Bagaimanapun tertuduh Divagaran Uthaya Sooriyam, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka Ecohill Taipan, Semenyih di sini pukul 5 pagi pada 20 Jun lalu (2023).

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang terhadap tertuduh.

“Jika mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan memohon syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa hingga kes selesai. Mohon satu tarikh untuk serahan dokumen dan laporan perubatan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela V. Vickneswari, yang tertuduh memohon jumlah ikat jamin rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung perbelanjaan keluarga ternasuk ibu dan bapa yang sudah tua.

“Tertuduh satu-satunya anak lelaki perlu menjaga ibu bapa, selain bergaji tidak tetap antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan. Komitmen bayaran bulanan kereta dan rumah masing-masing RM500. Jaminan tinggi sukar dibiayai keluarga, mohon jaminan serendahnya,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jaminan RM4,500 berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan perubatan mangsa.

Minggu lalu, Kosmo! melaporkan hanya kerana ditegur tidak membuat pembayaran tiga batang payung di kaunter, seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam dipukul oleh seorang lelaki di sebuah premis sekitar Bandar Rinching, Semenyih.

Beberapa klip rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan dua individu lelaki terlibat dalam insiden memukul pekerja terbabit tular di laman sosial.

Selain rakaman tersebut, gambar swafoto yang diambil oleh seorang lagi suspek bersama mangsa yang telah dipukul juga turut tular.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, berdasarkan laporan pengadu yang juga merupakan mangsa kejadian, premis tersebut telah didatangi oleh dua lelaki tempatan yang tidak dikenali mahu membeli minuman sekitar pukul 5 pagi.

Menurut Mohd. Zaid salah seorang dari suspek kemudian telah mengambil tiga batang payung dan keluar dari premis tanpa mahu membuat sebarang bayaran.

Ekoran tindakan suspek itu, mangsa telah menegur lelaki tersebut sebelum berlakunya pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek.

“Suspek kembali ke dalam premis lalu menumbuk mangsa di bahagian muka sebelum beredar meninggalkan premis,” jelas kenyataan polis itu.

Mohd. Zaid memberitahu, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI