fbpx

Kaji semula cadangan pindaan kewarganegaraan kanak-kanak terbuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrizat Abdul Jalil

PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk mengkaji semula cadangan pindaan berhubung kewarganegaraan yang dikhuatiri akan memberi kesan kepada kanak-kanak yang terpinggir atau terbuang.

Perkara itu disuarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berhubung cadangan KDN yang didakwa akan memansuhkan peruntukan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1)(b).

Seksyen itu menyatakan setiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan tersebut.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, tindakan menghapuskan perlindungan terhadap kanak-kanak terbuang hanya akan menggandakan cabaran asas yang dihadapi pihak bertanggungjawab.

“Saya amat bimbang jika cadangan ini diteruskan tanpa mempertimbangkan implikasi keseluruhan. Peruntukan ini bukan sahaja memastikan mereka mendapat akses kepada hak asasi termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan.

“Malah ia juga merupakan perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak bersalah, dan tidak boleh dipersalahkan atas keadaan yang menimpa mereka.

“Letakkanlah kesejahteraan kanak-kanak ini sebagai keutamaan dalam mencadangkan pindaan perlembagaan berkenaan kewarganegaraan yang sedang diusahakan kerana siapa pun kanak-kanak itu, mereka adalah aset masa depan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, sekiranya kanak-kanak terpinggir atau terbuang ini tidak dibenarkan hak kewarganegaraan, pelbagai implikasi kemudaratan yang lebih besar boleh timbul.

“Antaranya penafian hak asasi manusia ke atas mereka, masalah pekerjaan dan penjanaan pendapatan kerana terhalang dengan limitasi pendidikan dan masalah sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan hidup masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, berdasarkan Islam, sebuah negara itu wajib memikul tanggungjawab ke atas kanak-kanak terpinggir apabila ibu bapa mereka tidak dapat menjalankan amanah tersebut.

“Kewajipan ini dimeterai dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan Hak Kanak-Kanak, yang mana Malaysia adalah salah satu negara yang telah menandatanganinya,” jelas Shahrizat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI