Trend ‘salin’ kereta lama menjadi kereta baharu semakin menjadi satu fenomena dalam kalangan peminat kereta di negara ini.
Bermula daripada kereta lama, kenderaan itu kemudiannya dileraikan satu persatu sehingga tinggal kerangka yang kemudiannya dihidupkan semula menjadi sebuah kereta baharu yang menarik.
Itulah yang menjadi rutin harian Mohd. Shahrizal Abdul Jalil, 39, di sebuah bengkel kenderaan di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang yang melakukan kerja-kerja ‘restore’ kereta sejak 2014.
Sukar rasanya untuk ditemukan bengkel seumpamanya di negara ini, bengkel RS Autoworks yang diusahakan Mohd. Shahrizal itu bahkan boleh dikatakan mendapat tontonan ramai di media sosial.
Tinjauan Panorama di bengkel berkenaan mendapati banyak kereta yang sedang dalam proses pemasangan termasuk kereta yang hanya tinggal badan atau kerangka selepas dicat semula bahagian badan.
Terdapat juga banyak ‘halfcut’ kereta di bengkel berkenaan yang tersedia untuk dipasang dan dipilih pelanggan yang begitu menarik serta mengujakan.
Mohd. Shahrizal dan mekanik yang ada di bengkel berkenaan begitu mahir dalam memasang kembali kereta berkenaan bagaikan sebuah kilang yang memasang kereta baharu.
Dengan kemahiran yang ada, kereta yang sebelum ini barai telah siap dipasang semula begitu menarik seolah-olah sebuah kereta yang baharu.
Ketika ditanya sejauh mana perkhidmatan ini ada di bengkel-bengkel kenderaan, Mohd. Shahrizal mengakui ia jarang didapati.
“Ya, memang tidak semua bengkel boleh buat salin kereta ini sebab memerlukan kepakaran, pengalaman dan tumpuan. Jadi, saya mengambil peluang ini untuk menumpukan kepada perkhidmatan ini,” katanya.

Cerita Mohd. Shahrizal, idea tercetus untuk mewujudkan bengkel seumpamanya bertitik tolak daripada minatnya sendiri dalam membuat ‘salin’ kereta ini.
“Saya sendiri mula bekerja di bengkel kereta sejak umur 20-an dan dari situ saya menimba ilmu dan pengalaman yang cukup untuk menceburi perkhidmatan ini secara serius. Semua pekerja saya juga mempunyai kemahiran dan pengalaman diperlukan,” katanya.
Mohd. Shahrizal memberitahu, kereta yang sering dihantar untuk ‘dihidupkan’ semula dengan nafas baharu kebanyakannya adalah daripada jenis Perodua seperti Kancil, Kenari, Viva, Myvi dan Alza.
Jelasnya, kereta-kereta ini biasanya akan dipasang semula dengan model-model luar seperti Daihatsu Mira, Mira AVI, Toyota Passo, Daihatsu Move dan sebagainya berdasarkan kepada kesesuaian model kereta.
“Sebenarnya individu yang mahu ‘restore’ kereta ini adalah kerana minat dan hobi, mereka menghantar kereta lama yang masih boleh digunakan dan bukannya yang sudah rosak, cuma mereka mahukan nafas baharu kereta itu.
“Sambutan yang saya terima amat baik dari seluruh negara sehingga saya terpaksa membuat slot tempahan dan tidak dapat menerima pelanggan ‘walk in’.
“Sekarang ini, permintaan untuk perkhidmatan ini memang menjadi fenomena. Saya pun terpaksa menerima tempahan mengikut giliran. Saya juga menggunakan pelbagai media sosial seperti Facebook dan TikTok yang saya lihat mendapat sambutan baik termasuk respons dan pertanyaan daripada orang ramai di seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, pada masa ini senarai slot tempahan yang ada padanya adalah kira-kira 30 buah kereta daripada pelanggan seluruh Semenanjung dan setiap bulan pihaknya boleh menyiapkan hingga 10 biji.
Katanya, dengan mempunyai sembilan orang pekerja dia mampu menyiapkan sebuah kereta dalam tempoh tiga hingga empat bulan yang siap sepenuhnya termasuk lulus Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dia memberitahu, dalam menghasilkan kereta baharu dia menggunakan kereta ‘halfcut’ dari luar negara yang masih elok dan kos bagi setiap ‘restore’ kereta adalah RM20,000 dan ke atas.
“Setiap kereta yang dihantar kita akan ‘baraikan’ dahulu satu persatu sehingga tinggal ‘body’ yang akan dicat sebelum proses pemasangan dilakukan dengan teliti.
“Kita tukar semua sekali termasuk rim tayar baharu, radio dan kita akan uji dulu.
“Sudah tentu selepas disalin kereta akan menjadi seperti kereta lain kerana kita menyalin semua sekali. Bagaimanapun ia terserah kepada pelanggan sama ada mahu kekalkan mana-mana identiti kereta.” katanya.
Dalam pada itu katanya, pada masa ini dia juga membuat suspensi udara yang membolehkan kereta dapat dilaraskan tinggi dan rendah.
Ujarnya, dia menggunakan reka cipta sendiri dengan memasang kompresor di bahagian belakang bagi membolehkan pelarasan dilakukan menggunakan telefon pintar.














