fbpx

Dua premis judi dalam talian diserbu, 13 warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua pusat judi dalam talian yang beroperasi dalam premis kediaman di Jalan Kuchai Lama, di sini berjaya ditumpas sepasukan polis dalam serbuan serentak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan dijalankan kira-kira pukul 4 hingga 4.45 petang itu membabitkan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields.

Katanya, serbuan pertama dijalankan pada pukul 4 petang di sebuah apartmen di Jalan Kuchai Lama dan berjaya menahan empat warga asing disyaki terlibat dalam aktiviti mengurus dan mempromosikan perjudian atas talian.

“Seorang lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 32 tahun ditahan. Sebuah set komputer, empat komputer riba, lima telefon bimbit, dan satu router, serta satu mesin perakam waktu yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian telah dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Amihizam berkata, serbuan kedua dijalankan di sebuah premis perjudian di Jalan Kuchai Lama, di sini pada hari yang sama pada pukul 4.45 petang.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, sembilan warga asing ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 36 tahun.

“Turut dirampas empat set komputer, sebuah komputer riba, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah modem dan sebuah router.

Jelas beliau, tangkapan kesemua warga asing dalam dua serbuan dijalankan disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Ujar Amihizam, kedua-dua premis diserbu disyaki terlibat dalam mengurus dan mempromosikan aktiviti perjudian.

“Analisa pakar judi ke atas barangan rampasan mendapati wujud aktiviti yang disyaki berkaitan dengan unsur-unsur perjudian dalam talian.

“Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI