fbpx

Guru mengeluh upah jadi pengawas, penanda kertas SPM belum diterima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Ramai guru yang menjadi pengawas dan penanda kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mendakwa masih belum menerima bayaran dan upah sehingga hari ini.

Menerusi perkongsian seorang guru, Mohd. Fadli Salleh, dia memuat naik beberapa tangkap layar luahan beberapa pendidik daripada kumpulan Kami Guru Malaysia (KGM).

“Dalam Islam, upah harus dibayar sebelum keringat kering. Dah la bayaran tidak setimpal dengan bebanan tugas, tuntutan bayaran yang dibuat kena potong dan lambat bayar pula.

“Harap Lembaga Peperiksaan Rasmi (LPM) ambil serius isu ini,” tulisnya.

Tinjauan Kosmo! di kumpulan KGM di Facebook mendapati ramai guru yang mempersoalkan bila bayaran akan dibuat memandangkan keputusan SPM sudah diumumkan pada 8 Jun lalu.

Ada juga guru yang mendedahkan mereka hanya dibayar RM4 untuk kertas yang mempunyai hampir seratus markah dan terdiri daripada 50 ke 60 helaian muka surat.

“Keputusan sudah keluar, bayaran masih tak dapat. Begitulah kita cikgu diperlakukan. Bayaran sudahlah tak setimpal. Zaman dah berubah. Macam-macam tuntutan untuk menanda.

“Peranti sendiri, data sendiri. Skema tak boleh dicetak. Masa menanda perlu curi-curi antara mengajar.

“Yang saya terkesan sekali bila dapat tahu tentang bayaran. Kertas amali Sains yang hanya ada sikit soalan, soalan penuh hanya dalam dua muka surat, jumlah markah kurang dari 20 markah, bayarannya RM3,” luah guru tersebut.

Tambahnya lagi, sudah tiba masanya upah penanda kertas SPM dikaji kerana sememangnya tidak adil buat guru-guru seluruh Malaysia.

Seramai 373,974 calon menduduki SPM di seluruh negara pada Februari hingga Mac lalu.

Keputusan SPM 2022 yang diumumkan pada 8 Jun lalu menyaksikan seramai 10,109 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI