PUTRAJAYA – Kerajaan disaran bertindak lebih proaktif dalam menyediakan program yang bersesuaian bagi membantu golongan muda mencari pendapatan sampingan sekali gus dapat memperbaiki kedudukan kewangan mereka.
Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, antara program boleh dilaksanakan termasuklah berkaitan keusahawanan.
Menurut beliau, program tersebut mampu membantu golongan belia menjana pendapatan tambahan selain menerima gaji bagi pekerjaan hakiki mereka setiap bulan.
“Dalam konteks ini, kerajaan boleh mewujudkan program keusahawanan dengan memberi bantuan suntikan modal kepada golongan muda yang berminat untuk memulakan perniagaan mengikut kepakaran masing-masing.
“Selain memberikan bantuan modal perniagaan, kerajaan juga perlu mengambil langkah susulan dengan melakukan pemantauan berkala kepada peserta.
“Langkah tersebut adalah untuk memastikan kumpulan tersebut berada di landasan tepat dengan mendapat bimbingan yang betul daripada mereka yang pakar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ditanya sama ada golongan muda perlu melakukan dua kerja bagi menambah pendapatan sampingan, Abdul Rais memberitahu, keterlibatan dalam ekonomi gig antara yang disaran berikutan proses pengambilannya yang mudah.
“Orang muda boleh terlibat dalam konsep ekonomi seperti itu berikutan permintaan yang semakin meningkat.
“Tidak kira sama ada di kawasan bandar besar atau pinggir bandar, banyak perniagaan yang mengamalkan ekonomi gig.
“Walau bagaimanapun, mereka harus ukur baju di badan sendiri, ikut kemampuan kerana apa paling penting adalah keseimbangan dalam kehidupan serta kerjaya,” ujarnya.














