fbpx

Suspek pecah kedai, larikan emas RM1.08 juta diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bahagian belakang kedai yang digunakan suspek untuk masuk ke dalam kedai emas tersebut dengan cara memotong besi tingkap nako di bahagian tandas. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

JEMPOL – Polis sedang mengesan beberapa suspek lelaki yang memecah masuk ke dalam sebuah kedai dan melarikan barangan kemas bernilai RM1.08 juta di Taman Margosa Maju Bahau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9.41 pagi, polis menerima maklumat daripada seorang pemilik kedai emas yang mengadu premisnya telah dipecahkan dan emas yang disimpan di dalam peti besi hilang.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor, kejadian itu disedari pekerja kedai itu yang ingin memulakan rutin operasi kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Katanya, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), beberapa lelaki memakai topi, bersarung tangan dan memakai pelitup muka terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Suspek dipercayai telah masuk ke dalam kedai emas dengan cara memotong besi tingkap nako di bahagian tandas dan telah memecahkan pintu besi lalu memasuki bilik kebal.

“Beberapa peralatan untuk memecah masuk yang digunakan untuk memotong besi dan pintu di tempat kejadian telah diambil bagi siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Raj Kumar di talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol 06-4582222 atau mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI