fbpx

PRN: Fokus kemenangan, jangan terus polemik gabungan BN-PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir (tengah) pada Majlis Taklimat Persiapan PRN DUN Bukit Kayu Hitam di Pejabat UMNO Bahagian Kubang Pasu, hari ini.

JITRA – Semua ahli UMNO diingatkan agar tidak lagi berpolemik dengan isu sejauh mana perjalanan gabungan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kalangan ahli sebaliknya perlu memastikan kemenangan bersama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Kemenangan itu sekali gus dapat mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Persiapan PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam di Pejabat UMNO Bahagian Kubang Pasu, di sini hari ini.

Katanya, beliau mengharapkan kerjasama daripada semua ahli UMNO dengan memberikan sokongan penuh kepada keputusan parti.

“Saya mengharapkan sokongan mutlak daripada ahli-ahli UMNO, semangat saya seorang sebagai ketua tak cukup, saya perlukan sokongan semangat dan kerjasama daripada semua.

“Ahli-ahli UMNO sendiri jangan kalih ke lain dan sesiapa sahaja yang ditentukan oleh parti untuk menjadi calon nanti hendaklah kita sokong sepenuhnya,” ujarnya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, Kedah bakal menjadi tumpuan seluruh negara pada PRN ini berbanding Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Ini kerana katanya, keputusan PRN negeri-negeri tersebut sudah boleh dijangka berbanding Kedah yang mana pengundinya lebih dinamik dan bijak dalam membuat penilaian.

“UMNO dan BN masih ada harapan untuk mencatatkan kemenangan pada PRN kali ini berdasarkan situasi semasa sekarang agak berbeza sedikit dengan pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Kita yakin boleh kalih semula Kedah, sebab Kedah adalah ‘sweet state’ yang mana rakyat Kedah cerdik dalam memilih. Jadi jika kita masuk dalam pilihan raya kali ini dengan cara yang betul dan tepat kita boleh menang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI