fbpx

MHO bersama 200 mangsa penipuan skim pelaburan ke SSM hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin bergambar bersama mangsa ketika demonstrasi pelaburan haram, di Menara SSM Kl Sentral, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) bersama kira-kira 200 mangsa penipuan skim pelaburan sekali lagi tampil ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini petang ini bagi menggesa siasatan dilakukan terhadap syarikat pelaburan terlibat.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mahu siasatan dijalankan mengikut Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) bagi membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, mangsa pernah dibawa membuat aduan di SSM pada Mac lalu dan hadir sekali lagi hari ini bagi menyerahkan pernyataan tambahan mengenai penipuan dilakukan syarikat pelaburan terlibat

“Sehingga kini belum ada sebarang pengesahan dikeluarkan oleh SSM sama ada syarikat pelaburan terbabit berdaftar di bawah Akta 778 atau sebaliknya. Berdasarkan maklumat, syarikat terbabit tidak berdaftar di bawah akta itu yang bermakna mereka menjalankan skim pelaburan secara haram.

“Saya difahamkan terdapat kira-kira 220 syarikat yang menawarkan skim pelaburan berkonsep boleh tebus Islamik dan menggunakan ‘deposit information memo’ untuk memperdaya pelabur,” katanya di Menara SSM, di sini, petang tadi.

Sehubungan itu, beliau turut memohon SSM agar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status skim pelaburan berkenaan bersama senarai syarikat yang masih mempromosikan skim pelaburan haram bagi mencegah lebih ramai menjadi mangsa.

Bekas agen syarikat pelaburan, Zalina Zainal, 44, berkata, syarikat pelaburannya tidak dapat membayar segala dividen bermula pada tahun 2019 dengan alasan bisnes tergendala.

“Saya sebagai agen syarikat terlibat, ia merupakan tanggungjawab saya untuk sentiasa ‘follow up’ dan minta duit klien namun syarikat tidak mampu melakukan bayaran balik. Susulan insiden berkenaan, barulah kita sedar yang syarikat menipu walaupun kita sendiri dikaburi dengan penipuan mereka kerana telah melawat gudang dan sebagainya.

“Ramai klien yang menjadi mangsa di bawah syarikat sama dan mangsa dibawah saya lebih kurang enam orang. Mereka ini kebanyakannya yang telah pencen dan mereka guna duit pencen untuk melabur, minimum RM50,000 hingga RM200,000.

“Saya sebagai agen tidak dilayan oleh syarikat disebabkan sudah tutup, empunya syarikat pun sudah lari. Sebarang perkembangan, kita hanya boleh berhubung dengan khidmat pelanggan mereka,” katanya ketika ditanya Kosmo!.

Zalina juga berharap dalang utama yang terlibat dapat dikesan secepat mungkin susulan syarikat-syarikat skim pelaburan tersebut menggunakan imej orang ternama untuk menarik perhatian orang ramai supaya termakan dengan strategi mereka.

“Kita bersama Datuk Hishamuddin mahu gegarkan dan cari dalang utama yang ‘backup’ syarikat-syarikat pelaburan ini.

“Saya akan tetap memberi sokongan serta komitmen kepada klien saya sehinggalah kes ini diselesaikan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI