fbpx

Kesatuan Eropah rangka akta AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EU merangka RUU pertama di dunia mengenai tatacara penggunaan teknologi AI, 14 Jun lalu. - AFP

BRUSSELS, BELGIUM – Kesatuan Eropah (EU) menjadi yang pertama di dunia merangka rang undang-undang (RUU) berkaitan tatacara penggunaan teknologi kepintaran buatan (AI) bagi mewujudkan standard global untuk bidang tersebut, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Ia merupakan langkah berani EU dengan matlamat untuk membuka jalan bagi standard global teknologi yang digunakan dalam pelbagai bidang, daripada program komputer chatbot seperti ChatGPT sehingga prosedur pembedahan dan pengesanan penipuan di bank.

“Kami telah mencipta sejarah,” kata Ahli Parlimen Eropah, Brando Benifei, yang terlibat dalam merangka Akta AI EU.

Wakil-wakil rakyat Eropah juga bersetuju dengan versi draf akta tersebut yang kini akan dirundingkan dengan Majlis Kesatuan Eropah dan negara anggota EU sebelum ia menjadi undang-undang.

“Ketika syarikat-syarikat teknologi besar membangkitkan amaran terhadap ciptaan mereka sendiri, Eropah telah mencadangkan tindak balas konkrit terhadap risiko yang mula ditimbulkan oleh AI,” tambah Benifei.

Akta AI EU bertujuan untuk menggalakkan penyerapan AI yang berpaksikan manusia dan boleh dipercayai serta memastikan tahap perlindungan kesihatan, keselamatan, hak asasi, demokrasi, kedaulatan undang-undang serta alam sekitar daripada menerima kesan berbahaya.

Setelah RUU diluluskan, akta itu akan digunakan pakai terhadap sesiapa sahaja yang membangunkan dan menggunakan sistem AI di EU termasuk syarikat-syarikat yang terletak di luar blok tersebut.

Tahap peraturan bergantung kepada risiko yang dicipta oleh aplikasi tertentu, daripada minimum kepada tahap yang tidak boleh diterima.

Mana-mana sistem yang termasuk di bawah kategori terakhir dalam akta tersebut adalah dilarang dilaksanakan sama sekali. 

Ia termasuk sistem pengecaman wajah masa nyata di ruang awam, alat ramalan dasar dan sistem pemarkahan sosial seperti di China yang memberikan skor kesihatan kepada orang ramai berdasarkan tingkah laku mereka.

Undang-undang tersebut selain itu menetapkan sekatan ketat ke atas aplikasi AI yang berisiko tinggi dan memberi kemudaratan besar kepada kesihatan, keselamatan, hak asasi atau alam sekitar.

Ini termasuk sistem yang digunakan untuk mempengaruhi para pengundi dalam pilihan raya selain platform media sosial yang mengesyorkan kandungan kepada pengguna mereka. Ia melibatkan platform-platform yang memiliki lebih 45 juta pengguna seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Akta berkenaan juga selain itu menggariskan keperluan  mengenai ketelusan untuk sistem AI.

Contohnya, sistem seperti ChatGPT perlu mendedahkan bahawa kandungan mereka dijana oleh AI, membezakan imej palsu (deep fake) daripada yang sebenar dan menyediakan perlindungan terhadap penjanaan kandungan haram.

Mereka yang didapati terlibat dalam amalan-amalan AI yang dilarang berdepan denda sehingga €40 juta (RM202 juta) atau jumlah yang bersamaan dengan tujuh peratus daripada pendapatan tahunan syarikat di peringkat global, mana-mana nilai lebih tinggi.

Beratus-ratus saintis dan penyelidik AI terkemuka memberi amaran pada bulan lepas bahawa teknologi itu menimbulkan risiko kepupusan manusia. Beberapa tokoh terkemuka termasuk Presiden Microsoft, Brad Smith dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Sam Altman juga pernah meminta peraturan lebih meluas digariskan.

Pada Sidang Kemuncak CEO Yale minggu ini, lebih 40 peratus pemimpin perniagaan termasuk Ketua Walmart, Doug McMillon dan CEO Coca-Cola, James Quincy berkata, AI mempunyai potensi untuk memusnahkan manusia bagi tempoh lima hingga 10 tahun dari sekarang.

Dalam pada itu, seorang peguam dari firma undang-undang London Maitland Chambers, Racheal Muldoona berkata, akta itu mungkin tidak akan berkuat kuasa sebelum 2026 ekoran perkembangan pesat dalam teknologi AI. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI