fbpx

‘Geng Bob’ sorok ganja atas siling rumah, almari baju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ganja yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah malam tadi. Foto ihsan PDRM

HULU SELANGOR – Seramai lima lelaki tempatan yang dipercayai sindiket dadah ‘Geng Bob’ dicekup di sebuah kawasan perumahan Hulu Bernam, di sini, semalam, bersama tiga ketul ganja seberat lebih 2.5 kilogram (kg) bernilai hampir RM8,000.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menahan suspek berusia 21 hingga 59 tahun itu pada pukul 10.50 malam.

Katanya, dua ketulan ganja dibalut dengan plastik lut sinar (1.7kg) dijumpai di atas siling bumbung rumah berkenaan manakala satu lagi (0.77 kg) di atas almari pakaian sebuah bilik.

“Kita percaya sindiket ‘Geng Bob’ ini telah bergiat aktif lebih kurang enam hingga lapan bulan yang lalu.

“Suspek yang ditahan masing-masing bekerja sebagai tukang gunting rambut, pemandu lori, kelindan lori dan penganggur. Seterusnya, semakan mendapati tiga saspek mempunyai rekod lampau iaitu suspek pertama (dua kes jenayah); suspek ketiga (dua kes dadah) dan suspek keempat (empat kes jenayah).

“Tiga dari suspek mempunyai hubungan kekeluargaan manakala dua lagi merupakan rakan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, nilai rampasan dadah berjumlah RM7762.40 itu dipercayai untuk diedarkan ke sekitar Hulu Bernam dan ia boleh dibekalkan kepada seramai 5008 orang pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dapati kesemua suspek negatif daripada sebarang dadah. Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari mulai esok hingga 5 Mei nanti di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kita menyita sebanyak tiga buah motosikal Yamaha 125Z (RM21,000). Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi menyiasat aset-aset milik sindiket juga turut dijalankan,” ujarnya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan, akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

“Kita mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat-maklumat jenayah terutamanya berkaitan dadah kepada pihak polis dalam usaha untuk membanteras aktiviti pengedaran dan
penyalahgunaan dadah secara habis-habisan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI