fbpx

Polis serbu inap desa simpan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fisol (tengah) menunjukkan plastik berwarna hijau bertulisan 'refined Chinese tea' disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 18,645 gram yang dirampas dalam serbuan di kawasan sebuah rumah inap desa di Sungai Jagung, Sungai Petani Kedah pada 14 Jun lalu. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Taktik dua lelaki menyewa sebuah inap desa bagi dijadikan lokasi transit menyimpan dadah terbongkar apabila mereka ditahan pihak berkuasa bersama syabu seberat 18.6 kilogram di Kampung Sungai Jagung dekat Sungai Petani, kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, tangkapan terhadap dua lelaki itu dibuat kira-kira pukul 11.55 malam kelmarin oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Ketika diserbu katanya, kedua-dua lelaki tersebut sedang mengeluarkan sebuah kotak dari tempat menyimpan barang sebuah kereta jenis Honda City di pekarangan inap desa tersebut.

“Nilai keseluruhan dadah itu dianggarkan RM671,220. Pihak kami turut merampas dua kereta jenis Honda City dan Perodua Bezza serta wang tunai RM500,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah, di sini, hari ini.

Difahamkan kumpulan tersebut mula aktif dalam kegiatan tersebut sejak Januari lalu dan dadah dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan di negeri ini.

Fisol menambah, kesemua dadah itu dipercayai dibawa dari negara jiran dan sekiranya terlepas ke pasaran, akan dapat digunakan oleh kira-kira 40,000 penagih.

“Berkenaan tangkapan dilakukan pula, kedua-dua lelaki itu berusia 34 dan 35 tahun dengan seorang daripadanya berasal dari Kedah manakala seorang lagi dari Kuala Lumpur. Ujian urin dijalankan mendapati kedua-duanya positif syabu dan memiliki rekod jenayah lampau.

“Setakat ini kedua-duanya direman selama tujuh hari dan pihak kami akan menjalankan siasatan lanjut untuk tindakan seterusnya termasuk mengesan mana-mana individu yang mungkin terlibat dalam kegiatan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI