fbpx

Shiha Zikir rugi RM20,000, kedai nasi ayam dipecah masuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEDAI nasi ayam Shiha Zikir dipecah masuk pencuri sekitar pukul 3.40 pagi tadi.

PETALING JAYA – Penyanyi Shiha Zikir berputih mata selepas kedai nasi ayam miliknya dipecah masuk pencuri awal pagi tadi sekali gus mengakibatkannya mengalami kerugian berjumlah RM20,000.

Shiha atau nama lengkapnya Nurshiha Mohd. Zikir ketika dihubungi Kosmo! Online bagaimanapun reda dengan apa yang berlaku kerana percaya ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpanya itu.

Kata Shiha, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang periksa, kejadian pecah masuk itu berlaku pada pukul 3.40 pagi tadi.

“Betul kedai saya yang terletak di Kampung Baru dipecah masuk pencuri pada awal pagi tadi. Berdasarkan rakaman CCTV, kejadian dilakukan oleh seorang individu lelaki yang memakai topi.

“Muka memang jelas. Jumlah kerugian sekitar RM20,000 apabila penjenayah itu melarikan sebuah mesin duit termasuk wang tunai,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kata pelantun lagu Aewo itu lagi, kejadian tersebut disedari pekerjanya sewaktu mahu membuka kedai untuk memulakan operasi pada hari ini.

“Pekerja saya sedar kedai dipecah masuk pencuri selepas pintu hadapan dipecahkan. Sedih memang sedih, tapi perkara sudah pun berlaku,” ujarnya.

Gara-gara kejadian tersebut, kedai nasi ayamnya terpaksa ditutup pada hari ini kerana tidak dapat beroperasi tanpa sistem dan mesin wang tunai.

“Laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan. Saya reda dengan apa yang berlaku kerana percaya pasti ada hikmah disebaliknya.

“InsyaAllah, esok kedai akan kembali beroperasi jika tiada apa-apa masalah,” ujarnya.

Sebagai langkah keselamatan, Shiha berkata, dia akan meningkatkan tahap keselamatan di premis miliknya itu dengan menambah beberapa sistem kawalan keselamatan supaya kejadian sama tidak berulang.

Untuk rekod, Shiha memulakan perniagaan menjual nasi ayam Hainan yang diberi nama Shiha Zikir Nasi Ayam pada pertengahan bulan Mac lalu.

Penyanyi itu yang meminati nasi ayam Hainan membawakan konsep makanan Cina Muslim dalam menu-menu menarik yang ditawarkan kepada pelanggannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI