fbpx

Saksi kemalangan Ducati diminta tampil beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di susur keluar Lebuh Raya SUKE, Ampang, semalam.

AMPANG JAYA – Polis meminta saksi kemalangan motosikal kuasa tinggi jenis Ducati di Kilometer 22.2 susur Hulu Klang, Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini, semalam untuk hadir ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek masih belum ditahan.

“Diminta agar orang ramai yang menjadi saksi kemalangan untuk tampil bagi memberi maklumat berkaitan kemalangan terbabit.

“Bedah siasat mangsa sedang dijalankan hari ini di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, polis sedang mengesan penunggang motosikal yang memandu secara arah bertentangan dipercayai punca kemalangan ‘superbike’ di Kilometer 22.2 susur Hulu Klang, Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 1.10 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal jenis Ducati Panigale yang ditunggangi oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60an sedang melalui jalan selekoh di lokasi kejadian.

“Secara tiba-tiba, di hadapan mangsa didatangi sebuah motosikal dari arah bertentang di bahu sebelah kanan jalan.

“Justeru itu, penunggang motosikal jenis kuasa tinggi yang cuba untuk mengelak kenderaan dari arah bertentangan berkenaan terus melanggar penghadang sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Azam, kesan daripada perlanggaran itu telah menyebabkan penunggang motosikal terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 Meter.

Tambah beliau, motosikal yang ditunggang mangsa telah terseret ke tengah jalan dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) Sungai Klang.

“Motosikal yang datang dari arah bertentangan telah meninggalkan tempat kejadian dan tindakan untuk mengesan motosikal itu sedang dijalankan.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) telah dikenal pasti dan akan diteliti dengan pihak Lebuh Raya SUKE dan saksi bebas kejadian sedang dikesan bagi membantu siasatan.

Azam memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca dari kecuaian penunggang motosikal yang tidak dikenal pasti memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi bebas yang menyaksikan kejadian boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI