fbpx

Melaka mohon 330 projek bernilai lebih RM13 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. RAUF.

MELAKA – Kerajaan negeri mengemukakan sebanyak 330 permohonan projek di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos keseluruhan berjumlah RM13.93 bilion.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri turut menyenaraikan 10 projek yang menjadi keutamaan seperti menaik taraf dan pemodenan infrastruktur e-tanah, projek pembangunan eko pelancongan fasa dua Paya Lebar dan membina Pasar Jasin baharu.

Katanya lagi, projek lain adalah menaik taraf dan membina jalan baru dari Hatten City ke Semabok, menaik taraf kemudahan sukan negeri dan Kawasan Perindustrian Hab Halal Melaka fasa dua.

“Kerajaan negeri juga bercadang menaik taraf ruang di bangunan tambahan, wad jantung dan jabatan perubatan Hospital Melaka selain membina Kompleks Perpaduan serta Akademi Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Melaka.

“Kita minta kalau boleh pengumuman Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) tentang Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Khas Wanita dapat dibuat sekali dalam kompleks ini supaya dapat menjadi pemangkin kepada kesejahteraan keluarga.

“Paling penting adalah pembangunan kampus baharu Politeknik Melaka yang telah diluluskan tetapi mengalami sedikit masalah teknikal, kita minta bajet dinaikkan kerana permintaan harga tanah telah meningkat,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Separuh Penggal RMK12 2021-2025 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab. Rauf berkata, beliau meminta kerajaan Persekutuan supaya meneliti projek-projek berkenaan yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, Melaka memerlukan suntikan dana untuk melaksanakan projek tersebut bagi menjana ekosistem ekonomi yang baik untuk rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI