fbpx

Dewan Rakyat: Ahmad Zahid jumpa Najib atas budi bicara penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika sidang akhbar di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh melawat dan membawa makanan dari luar penjara ketika melawat seorang banduan bergantung kepada budi bicara pihak penjara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi Sabtu lalu bahawa beliau meluangkan hampir dua jam melawat Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Penjara Kajang dan turut membawa makanan kegemaran bekas Presiden UMNO itu.

Tambah beliau, urusan itu mematuhi Peraturan-Peraturan Penjara 2000 selain beliau mengesahkan ada dimaklumkan mengenai lawatan itu oleh Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Walaupun dimaklumkan mengenai urusan itu, beliau bagaimanapun menegaskan tidak mencampuri sebarang proses atau urusan lawatan berkenaan kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Penjara.

“Saya nak sebut bahawa Peraturan-Peraturan Penjara 2000 Bahagian 10 di bawah perkara surat dan lawatan kepada banduan. Ada bahagian 10 itu, ada satu peraturan. Peraturan itu adalah Peraturan 86.

“Ia memperuntukkan kuasa kepada kecuali dengan kebenaran khas yang dipakai selama ini, adalah oleh Ketua Pengarah Penjara. Bunyinya begini, perhubungan antara banduan dengan saudara-mara dan rakan-rakan mereka hendaklah dibenarkan mengikut bahagian ini.

“Ia juga tertakluk kepada apa-apa sekatan yang perlu bagi mengekalkan tatatertib dan ketenteraman dalam penjara dan pencegahan jenayah serta tiada seorang lain pun boleh dibenarkan berhubung dengan seorang banduan, kecuali dengan kebenaran khas, itu prosesnya,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Pertemuan empat mata sambil menikmati pelbagai makanan yang dibawa, berlangsung di antara Ahmad Zahid dan Najib itu didedahkan sendiri Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Mengenai Timbalan Perdana Menteri membawa makanan kegemaran Najib ketika melawat bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Saifuddin menjelaskan ia mematuhi Peraturan 99 selain dibenarkan berbuat demikian oleh pegawai bertugas ketika itu.

Secara kesimpulannya, beliau berkata permohonan itu sememangnya dibuat dengan kuasa pihak penjara yang menguatkuasakan Peraturan Penjara Bahagian 10. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI