fbpx

Dewan Rakyat: Lebih RM2 juta disalurkan kepada penerima vaksin alami AEFI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM2.556 juta Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 telah disalurkan kepada 150 pemohon sehingga 31 Mei lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, sebanyak 319 permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 diterima.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 150 permohonan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin.

“Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 itu diberikan kepada pemohon yang mempunyai Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) yang serius atau hilang upaya kekal serta waris penerima vaksin yang meninggal dunia,” katanya di Dewan Rakyata hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19.

Dalam pada itu beliau berkata, sehingga 1 Jun lalu, sebanyak 8.5 juta dos vaksin pelbagai jenama diluput di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan gudang simpanan vaksin Covid-19.

“Proses pelupusan dan pelaporan vaksin dalam simpanan dilaksanakan mengikut Tatacara Pengurusan Aset dan Tatacara Pengurusan Stor yang berkuat kuasa.

“Bagi sumbangan vaksin Covid-19 kepada negara luar, KKM menawarkan 1.89 juta dos vaksin kepada negara seperti Bangladesh, Myanmar, Laos dan Bosnia Herzegovina,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan pada 26 Mei lalu bersetuju agar baki 2.7 juta dos vaksin Covid-19 kanak-kanak keluaran Pfizer BioNTech akan ditukarkan kepada vaksin Covid-19 generasi baharu dan disasarkan kepada golongan rentan tanpa implikasi kewangan tambahan.

“Untuk tahun 2023 hingga 2024, kerajaan melaksanakan selaras dengan syor terkini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana pemberian vaksin disarankan terus diberikan kepada individu yang berisiko tinggi.

“Ini termasuk warga emas berumur melebihi usia 60 tahun terutamanya individu dengan komorbid teruk atau obesiti teruk, individu berusia melebihi usia lima tahun dengan berisiko dan mudah dijangkiti, juga ibu mengandung dalam kalangan remaja dan dewasa serta kakitangan kesihatan barisan hadapan,” tambahnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI