SUASANA gelap dan sunyi menghiasi satu kawasan lapang di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada malam itu.
Di satu sudut, kelihatan kelibat seorang lelaki yang ditemani sinaran cahaya lampu merah sedang memasang teleskop dilengkapi dengan beberapa komponen lain dan menghalanya ke langit hitam.
Tujuan lelaki dikenali sebagai Mohd. Zaki Kosri itu berbuat demikian di situ adalah untuk merakam imej-imej yang ada di cakerawala.
“Kedatangan saya di kawasan ini pada waktu malam sebegini adalah untuk merakam imej galaksi dan nebula.
“Galaksi adalah gugusan bintang yang terpisah jauh dari satu sama lain di alam semesta.
“Nebula pula adalah kepulan gas dan zarah yang kelihatan seperti tompokan cahaya kabur di langit pada waktu malam dan mempunyai pelbagai bentuk,” katanya kepada K2.
Tambahnya, bagi mencari galaksi dan nebula, keadaan langit perlu gelap serta tidak mendung.
Ujar lelaki berusia 46 tahun itu, bagi merakam imej kedua-dua fenomena tersebut, dia perlu meluangkan masa lama di situ.
Tujuan utama Zaki merakam imej-imej tersebut adalah disebabkan tuntutan hobi atau minatnya terhadap seni astrofotografi.
Untuk makluman, Astrofotografi adalah satu bentuk pengimejan objek astronomi atau peristiwa angkasa.

Selain merakam imej seperti bulan, matahari atau planet, dia juga merakam objek yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia seperti galaksi dan nebula.
Sementara itu, Zaki menjelaskan, dia menggunakan teleskop optik dan lensa khusus bersama kamera khas bagi merakam imej angkasa.
“Bagi merakam imej galaksi, ia lebih sukar kerana kedudukannya yang jauh dan perlu menggunakan lensa atau teleskop lebih panjang.
“Biasanya, saya menggunakan teleskop utama dan teleskop kedua untuk memandu arah pergerakan bintang sejajar pergerakan bumi,” terang lelaki yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu.
Katanya, selain galaksi dan nebula, peminat-peminat astrofotografi juga sering merakam imej planet seperti Zuhrah, Zuhal dan Musytari.

Dalam pada itu, dia memaklumkan, bagi mendapatkan sekeping imej yang sempurna, ia mengambil masa agak lama dan bergantung kepada kawasan.
Zaki menjelaskan, jika kawasan itu gelap seperti di Kuala Kubu Bharu, masa yang diambil adalah sekitar satu hingga tiga jam.
“Di kawasan yang agak bercahaya, ia mengambil masa yang agak lama.
“Sebagai contoh, jika di Kuala Kubu Bharu kita mengambil masa satu jam, di Subang pula ia mungkin memakan masa selama 10 jam.
“Sebahagian nebula dan galaksi sukar dirakam di bandar kerana sifatnya yang terlampau malap.
“Di kawasan bandar, cahaya terlampau banyak serta udara yang kotor.
“Disebabkan itu, ia mengambil masa yang lama,” terangnya yang turut menyediakan perkhidmatan menyewa pelbagai peralatan kamera.

Tambah Zaki, lagi gelap sesuatu kawasan, lagi bagus untuk merakam imej-imej angkasa.
“Kamera yang digunakan untuk merakam imej-imej ini akan menghasilkan banyak gambar.
“Kemudian, satu perisian akan digunakan untuk menghasilkan imej yang dikehendaki.
“Gambar ini tidak dapat segera, selalunya apabila pulang ke rumah ia akan melalui beberapa proses untuk menghasilkan gambar yang cantik.
“Proses suntingannya juga mengambil masa lama iaitu tiga hingga empat jam,” jelas Zaki.
Berbicara lanjut tentang hobinya itu, Zaki memaklumkan, sejak zaman sekolah menengah lagi dia telah berminat dengan astrofotografi.
Bagaimanapun, ketika itu, kos menjadi halangan kepadanya untuk berkecimpung dengan lebih serius dalam bidang tersebut.
“Saya serius dalam astrofotografi pada 2019 sewaktu gerhana matahari cincin berlaku di Malaysia.
“Saya membeli kelengkapan untuk merakam imej tersebut di Tanjung Piai, Johor.
“Ketika di sana, saya bertemu dengan mereka yang mempunyai minat dalam astrofotografi.
“Dari situ saya kenal dan belajar dengan mereka mengenai seni ini,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan ilmu asas tentang astrofotografi diperoleh melalui tontonan YouTube.
Di Malaysia tidak ramai yang berminat dengan astrofotografi.
Salah satu sebabnya adalah kos yang agak tinggi serta rutin perlu berjaga malam untuk merakam imej-imej tersebut.
Zaki berkata, kos yang diperuntukkannya untuk membeli kelengkapan astrofotografi bersamaan dengan harga sebuah kereta baharu.
Sehingga kini, Zaki telah merakam lebih 80 gambar berkaitan astrofotografi.
“Pada 2020, Covid-19 telah melanda negara dan saya kehilangan banyak masa untuk merakam imej-imej ini.
“Selepas ini, jika ada kesempatan saya ingin mengadakan pameran solo berkaitan astrofotografi dengan mempamerkan imej-imej yang berjaya dirakam,” jelasnya.
Zaki memaklumkan, buat masa ini, dia hanya aktif menyertai pertandingan-pertandingan berkaitan seni astrofotografi.
Ujarnya, ‘Horsehead and Orion Nebula’ merupakan antara gambarnya yang berjaya memenangi pertandingan astrofotografi anjuran Astronomical Society of Penang.
Dalam pada itu, Zaki memberitahu, dia berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam merakam imej-imej tersebut.
“Cabaran utama dalam astrofotografi adalah faktor cuaca terutama di Semenanjung Malaysia seperti pencemaran cahaya, mendung dan kerap hujan.
“Selain itu, saya terpaksa membeli sebahagian peralatan astrofotografi dari luar negara kerana penjual tempatan sangat terhad dan kurang pilihan,” terangnya.
Terbaharu, Zaki berkesempatan merakam imej supernova terbaharu dikenali sebagai SN 2023ixf yang telah ditemui oleh seorang ahli astronomi dari Jepun bernama Koichi Itagaki.
Untuk makluman, SN 2023ixf yang terletak berdekatan dengan NGC5461 berlaku dalam Galaksi Pinwheel atau dikenali sebagai Messier 101 (M101).
Letupan supernova itu dipercayai berlaku 21 juta tahun dahulu dan cahayanya hanya sampai ke Bumi pada 19 Mei lalu.
Letupan supernova itu terhasil daripada bintang besar yang telah sampai ke penghujung hayatnya.
“Kebetulan saya telah mencerap galaksi ini pada 13 Mei lalu, seminggu sebelum cahayanya sampai.
“Jadi, imej yang sempat saya ambil belum merekodkan letupan ini.
“Pada 24 Mei lalu, sekali lagi saya mencerap dan jelas kelihatan titik merah letupan supernova ini,” ujarnya.














