ENTAH dari mana puncanya, media sosial sejak kebelakangan ini dilambakkan dengan cerita-cerita selebriti berhidung tinggi. Bukan daripada penulisan media, kebanyakan senarai artis yang dipilih orang ramai berdasarkan pengalaman masing-masing berhadapan dengan selebriti terbabit.
Tidak hanya artis yang meledak popular biarpun biarpun bukan sesiapa, nama-nama besar turut terpalit kisah sama sehingga perlu ‘berhujah’ mempertahankan diri. Dalam isu ini, si cantik yang masih dalam tempoh bulan madu, Reen Rahim antara yang menjadi sebutan.
Mengakui terkejut namanya tiba-tiba ‘naik’ sehingga dilabel sebagai artis sombong, Reen mengakui perkara tersebut memberi impak kepada emosinya pada ketika itu.
Katanya, melabel selebriti sebagai sombong secara membabi buta adalah satu perkara yang tidak baik.

Manusia biasa
“Saya tak mahu panjangkan isu dengan individu yang tuduh saya sombong baru-baru ini dan anggapnya sudah tamat.
“Cuma agak terkilan mengapa hal tersebut diperbesar-besarkan dalam media sosial sedangkan boleh mesej saya secara peribadi,” katanya kepada Pose baru-baru ini.
Baginya, setiap perkara perlu dilakukan mengikut cara yang sesuai dan bukannya ‘menembak’ seseorang dalam media sosial tanpa usul periksa.
“Saya bukan artis yang mudah melenting sebab hal-hal kecil begini cuma saya juga manusia biasa, ada hari tertenti mood pun tidak betul.
“Kalau rasa tidak puas hati dengan seseorang termasuk artis kegemaran, mesej terus, bukannya memburukkan namanya secara publik,” tegas aktres berusia 36 tahun itu.
Dilayang soalan mengenai trend melabel artis kurang ajar dan baik yang menular dalam Twitter baru-baru ini, Reen antara yang tidak menyokong perkara tersebut.
Menurutnya, trend sebegitu memburukkan nama selebriti yang tidak pernah berniat pun hendak berlagak dengan mana-mana individu.
“Kita tidak layak nak menilai seseorang apatah lagi jika tidak mengenal secara rapat.
“Bahkan, mereka juga tidak duduk serumah atau tidur sebantal dengan kita tetapi dilabel pula sebagai sombong, aneh sungguh.
“Artis juga manusia biasa. Mungkin mereka baru sahaja melalui fasa duka, namun orang hanya melihat wajahnya yang kelat tanpa senyuman dan terus dilabel sombong. Tidak adil begitu,” jelasnya.
Beralih soal kematangannya yang sering dipersoal ramai, Reen sedar masih menjadi mangsa kecaman ramai apabila berkongsi video perangai ‘gila-gila’ dalam media sosial.
Biarpun dilanda jutaan kritikan, dia bertegas hanya ingin terus menjadi diri sendiri.

Matang bertempat
“Rasa-rasanya tidak perlu untuk saya pamer atau buktikan kematangan untuk orang ramai.
“Cukup suami, keluarga dan teman rapat yang tahu diri saya siapa,” kata pemilik nama penuh Noreen Ashikin Abd. Rahim itu.
Bintang drama Pujaan Hati Kanda itu berkata, walaupun kerap memuat naik konten gila-gila dan keanak-anakan, semuanya masih bawah pengetahuan dan bimbingan suami tercinta iaitu Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin.
“Satu hal yang bagus mengenai suami saya ialah dia menegur pada waktu yang sesuai dalam nada lembut.
“Dia tidak marah atau meluat pun dengan perangai saya. Tegurannya mudah, hanya cakap ‘kalau boleh’ dan itu sudah cukup buat saya sedar dan tidak ulanginya lagi,” ujarnya.

Muka ‘kari’
Berkongsi perihal kerjaya, Reen bakal muncul dengan filem baharu, Sue-On arahan Razif Ajiboy Rashid pada 6 Julai depan.
Mengakui teruja apabila berpeluang berdiri sebaris dengan nama-nama besar untuk filem tersebut seperti Datuk Awie, Ropie dan Achey, Reen menganggap peluang tersebut seperti jadi nyata.
“Berpeluang bekerja dengan abang Awie seperti mimpi jadi kenyataan.
“Selama ini nampak dalam filem dan drama sahaja, tetapi akhirnya dapat bekerja bersama. Mula-mula ingatkan dia serius dan garang, realitinya kelakar orangnya,” katanya memegang watak hantu.
Bercerita mengenai wataknya sebagai hantu Korea seperti karakter hantu Jepun popular, Ju-on, Reen memandang perkara tersebut sebagai cabaran besar buatnya.
“Sebelum ini saya selalu juga pegang watak hantu tetapi kali ini unik sedikit.
“Bayangkan, mata saya bukan sepet, wajah pun muka ‘kari’ sehingga bertanya banyak kali, ini bukan filem Bollywood?
“Nampak kecil perkara itu tetapi satu cabaran untuk saya sebenarnya untuk menjadi hantu Korea,” tuturnya seraya mengakhiri bicara.















