fbpx

Lima rakan ‘kaki curi’ motosikal didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KESEMUA tertuduh dikenakan jaminan keseluruhan RM62,500 selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Lima rakan dikenali sebagai Geng Faiz Tanah Merah dituduh di Mahkamah Ayer Keroh di sini, hari ini atas pelbagai kesalahan termasuk mencuri motosikal, penyalahgunaan dadah dan menghalang tugas penjawat awam.

Tertuduh adalah Muhamad Faiz Anuar, 26; Mohd. Amirruddin Mohd. Jazaly, 32; Muhammad Muqri Mohd. Azuan, 20; Bong Hang Hun, 41, dan seorang remaja berusia 14 tahun.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam tiga prosiding berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Faiz, Mohd. Amirruddin dan Muhammad Muqri didapati dengan curang telah menghapuskan harta curi iaitu empat buah motosikal, sebuah rangka motosikal dan enam buah komponen pelbagai jenis motosikal.

Perbuatan itu dilakukan sekitar Tangga Batu, Taman Malim Jaya, Paya Rumput dalam daerah Melaka Tengah dan Taman Rembia Setia, dalam daerah Alor Gajah antara 19 April hingga 9 Mei lalu.

Muhamad Faiz dan remaja bawah umur terlibat turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan mengambil sebuah motosikal jenis Yamaha LC135SE di Krubong Perdana pada 24 Mac lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, tertuduh Hang Hun turut berdepan pertuduhan berniaga harta curi iaitu motosikal jenis Honda EX5 serta Yamaha 125Z kepunyaan dua individu pada 26 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Muhamad Faiz dan Mohd. Amirruddin juga didapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methaamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah pada 8 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 38B akta sama.

Mohd. Amirruddin berdepan satu lagi pertuduhan menghalang seorang anggota polis menjalankan tugas dengan melarikan diri daripada pemeriksaan pada 6 Mei lalu, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohd. Iqbal, J. Banusha dan N. Siva Shangari, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin keseluruhan berjumlah RM62,500 dan menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI