fbpx

1 daripada 2 rakyat Malaysia ada masalah berat badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr Norlaila Mustafa (kanan), Dr Mohd Ridzwan Shahari (tengah) dan Dr Nurain (kiri) selepas majlis perasmian CPG untuk Pengurusan Obesiti (edisi ke-2), di Hotel Aloft, di sini.

KUALA LUMPUR – Hampir separuh rakyat Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti, kata Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr. Nurain Mohd Noor.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), kadar obesiti dan berat badan berlebihan dicatatkan berada pada paras 44.5 peratus pada tahun 2011 manakala pada 2019, ia meningkat kepada 50.1 peratus.

“Lebih membimbangkan, trend yang sama dapat dilihat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Pada tahun 2011, kadar obesiti dalam golongan yang berumur 5 hingga 17 tahun ialah 6.1 peratus, namun, meningkat dua kali ganda dan mencapai 14.8 peratus menjelang 2019.

“Disebabkan peningkatan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kita jangka lonjakan jumlah penghidap penyakit ini di negara kita tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian CPG untuk Pengurusan Obesiti (Edisi ke-2) di Kuala Lumpur, hari ini.

“Masalah berat badan berlebihan juga boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes jenis 2, penyakit arteri koronari dan juga kanser tertentu,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan, Dr. Mohd Ridzwan Shahari dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG), Dr. Norlaila Mustafa.

Menurut Norlaila pula, pendekatan yang baharu dan lebih holistik diperlukan untuk memerangi masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

“Untuk mengatasi masalah ini, kami menggabungkan kepakaran daripada pelbagai bidang. Ini termasuklah intervensi dari segi psikologi, pemakanan, senaman, farmakoterapi dan pembedahan bariatrik,” katanya.

Tegas Norlaila lagi, pencegahan masalah berat badan berlebihan dan obesiti sangat penting.

“Orang dewasa yang mempunyai risiko untuk mempunyai berat badan berlebihan atau obes perlu dibantu dari segi pengurusan berat badan.

“Amalkan gaya hidup sihat, kerap lakukan senaman dan ambil makanan yang berkhasiat. Jika ia dijadikan rutin, kita dapat cegah obesiti dan tingkatkan kesihatan diri secara keseluruhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI