fbpx

Wanita hamil 9 bulan, pembantu kantin curi gelang emas dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA gelang emas yang dilarikan suspek sarat mengandung dari sebuah kedai emas di Arau pada semalam.

ARAU – Tindakan licik seorang wanita sarat mengandung serta rakan subahatnya memperdayakan jurujual dengan melarikan gelang emas di sebuah kedai emas di sini semalam berakhir dengan mereka diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku pada pukul 4.20 petang itu daripada jurujual kedai emas tersebut.

“Dalam kejadian itu, suspek pertama yang mengandung sembilan bulan pada mulanya mengunjungi kedai emas berkenaan dan meminta untuk melihat dua gelang emas yang dipamerkan dalam meja pameran.

“Dalam tempoh kira-kira 10 minit suspek membelek gelang tangan emas itu sebelum melarikan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata beliau, suspek pertama melarikan diri bersama barang kemas bernilai RM45,000 dengan membonceng sebuah motosikal ditunggang seorang lagi wanita yang sedang menunggu di hadapan kedai.

“Bertindak atas maklumat pengadu, sepasukan anggota polis dikerah melakukan siasatan di lokasi kejadian dengan dibantu anggota forensik Ibu Pejabat Kontinjen Perlis dan telah berjaya menimbulkan kesan cap jari.

“Tangkapan berjaya dilakukan ke atas dua suspek wanita bersama barang kes di Simpang Empat, dekat sini kira-kira pukul 10.30 malam semalam,” jelasnya.

Kata Ahmad Mohsin, suspek pertama yang mengandung berusia 29 tahun bekerja sebagai peniaga dan mempunyai rekod jenayah lampau manakala suspek kedua berusia 34 tahun bekerja sebagai pembantu kantin.

Tambahnya, polis merampas dua gelang tangan berwarna kuning keemasan, sehelai baju warna coklat, seluar trek hitam, sepasang kasut hitam, sebuah motosikal jenis Yamaha NVX, dua topi keledar warna putih dan biru gelap serta dan sehelai ‘sweater’ hitam.

Polis berjaya mendapatkan perintah reman daripada Mahkamah Majistret Kangar ke atas suspek kedua selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu bagi membantu siasatan manakala suspek yang sarat mengandung diberi jaminan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI