fbpx

Duda anak dua didakwa hina Allah, Nabi dan agama Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALIMUDDIN didakwa atas 10 pertuduhan menghina Allah, Nabi dan agama Islam di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga pakaian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan membuat hantaran menghina Allah, Nabi dan agama Islam di laman sosial Facebook, dua bulan lalu.

Tertuduh, Alimuddin Mohd. Hayat, 39, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan dua hakim iaitu Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan V.M Mabel Sheela.

Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik dan menghina agama Islam, Allah dan Nabi menggunakan akaun Facebook miliknya ‘Ali Tikos’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran itu telah dibaca di sebuah rumah di Rumah Pangsa Awam Larkin Johor Bahru, pada kira-kira pukul 10 malam, 26 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sesyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar dan Noor Idayu Salim serta S. Thiviya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwa menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi pertuduhan pertama hingga keenam dan seorang penjamin.

Alimuddin dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengurangkan jaminan dengan mengambil kira dia yang telah bercerai dan mempunyai dua orang anak berusia empat serta lapan tahun.

Selain itu, tertuduh juga berpendapatan rendah iaitu sekitar RM300 hingga RM400 sebulan sebagai peniaga baju di Bazar Karat Johor Bahru.

Ahmad Kamal Arifin kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi keenam pertuduhan dan menetapkan 9 Julai sebagai sebutan kes dan lantikan peguam.

Manakala Mabel Sheela mengguna pakai ikat jamin dan tarikh yang sama bagi pertuduhan ketujuh hingga ke-10.

Tertuduh tidak membayar jaminan tersebut.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI