fbpx

Serai, lengkuas sukar ditemui, dijual pada harga kayangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABSHA yang telah menetap di Arab Saudi bersama keluarganya sejak lima tahun lalu mengakui bahan masakan termasuk serai sukar ditemui di sana.

MEKAH – Kesukaran mendapatkan bahan-bahan untuk memasak selain harganya yang mahal antara cabaran dihadapi rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi ketika ini.

Seorang suri rumah, Absha Atiah Abu Bakar, 35, berkata, dia menghadapi kesukaran mendapatkan serai, lengkuas dan daun pandan.

“Jika ada jumpa pun, dijual pada harga kayangan dan buat stok sejuk beku. Selain itu, kami juga berdepan dengan masalah komunikasi ketika awal-awal berada di sini kerana tak semua warga Saudi tahu berbahasa Inggeris.

“Kami banyak menggunakan bahasa Arab pasar kerana ia digunakan secara meluas oleh penduduknya terutama dalam urusan jual beli atau pengangkutan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Absha, dia dan empat anaknya berpindah ke Jubail, Arab Saudi sejak lima tahun lalu kerana mengikut suaminya, Anas Shamsul Anuar, 35, bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak dan gas.

Tambahnya, tahun pertama tinggal di sini merupakan waktu paling sukar kerana perlu berdepan dengan suhu sejuk hingga mencecah 10 darjah Celsius pada malam hari dan kea­daan fizikal rumah yang berbeza dengan Malaysia.

“Ketika itu kami belum mengenali rakan-rakan Malaysia. Segala masalah dikendalikan sendiri dan kami tidak boleh sakit untuk uruskan anak-anak selain prosedur Arab Saudi yang tak membenarkan wanita memandu kereta ketika itu,” ujarnya.

Kata Absha, lebih teruk apabila mereka belum bersedia menghadapi fenomena ribut pasir yang memerlukan pintu rumah ditutup, pintu diselitkan dengan kain basah bagi mengelakkan pasir halus masuk.

“Ketika pandemik, kami tidak boleh keluar rumah dan ada waktu tertentu pergi beli barang.

“Saya pula alami alahan teruk ketika hamil anak ketiga tetapi suami dapat surat kebenaran kerana bekerja dalam sektor kritikal menyebabkan kami mempunyai pendapatan,” jelasnya.

Bekas guru pendidikan Islam itu menambah, mereka baru sekali menunaikan haji iaitu sewaktu kerajaan Arab Saudi membuka kuota sedikit demi sedikit pasca pandemik.

“Apa yang seronok ialah kami sekeluarga boleh melakukan umrah banyak kali terutama hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang, manakala suaminya dari Bestari Jaya, Selangor.

Menurut Absha, tinggal di sini membuatkan dia berpeluang mengikuti kelas bahasa Arab dengan guru tempatan dan beberapa majlis ilmu lain.

Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI