PUTRAJAYA – Seorang pegawai bank mengalami kerugian berjumlah RM53,700 akibat terperdaya dengan janji manis ditawarkan sindiket pekerjaan sambilan, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa yang merupakan lelaki tempatan telah membuat laporan berhubung kejadian berkenaan, semalam.
Menurutnya, mangsa memaklumkan dirinya telah menyertai tawaran kerja sambilan di Facebook, sekitar pukul 11 pagi.
“Lelaki berusia 47 tahun itu dijanjikan komisyen sebanyak 30 peratus daripada sindiket tersebut, namun mengikut pada jumlah yang dibayar.
“Bagi tugasan pertama, mangsa mendapat pulangan sebanyak RM130. Selepas itu, pengadu telah membuat enam kali transaksi ke dalam dua akaun berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, A. Asmadi memaklumkan, tindakan mangsa bagaimanapun tidak memulangkan hasil apabila tidak menerima sebarang bayaran balik hasil pemindahan wang itu.
“Merasakan dirinya ditipu, mangsa turut diminta menambahkan lagi jumlah bayaran kepada sindiket berkenaan dan sekiranya tidak membuat demikian, wang sebelum ini dipindahkan akan hangus.
“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE.














