fbpx

Melampau labelkan pandangan Sanusi sebagai jenayah – Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tun Mahathir

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menganggap pandangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sepatutnya tidak dilabelkan sebagai satu jenayah.

Ini susulan dakwaan yang dibuat Muhammad Sanusi bahawa Kedah dan Pulau Pinang tidak mempunyai sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, dari segi sejarah, Sultan Kedah berkenan supaya Syarikat Hindia Timur Inggeris mengambil alih pulau itu dengan bayaran 6,000 dolar Sepanyol setahun.

Ujarnya, kemudian jalur daratan bertentangan telah ditambah untuk 4,000 dolar Sepanyol, setahun.

“Selain itu, perjanjian tersebut memerlukan syarikat British membantu dalam pertahanan Kedah sekiranya diserang oleh negara asing. Kita tahu bahawa British gagal memenuhi janji mereka.

“Perjanjian penyerahan Singapura pula adalah berbeza. British membuat bayaran sekali sahaja sebanyak 60,000 dolar Sepanyol kepada Temenggong,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Tambahnya, perlu diingat bahawa Sultan Ali, iaitu Sultan pada masa itu tidak menandatangani namun dianugerahkan sebuah rumah di Kampung Gelam, Singapura.

“Kemurahan hati ini tidak disertai dengan pengiktirafan British terhadap Ali sebagai Sultan. Maka jelas dapat dilihat perbezaan antara perjanjian Pulau Pinang dan perjanjian Singapura.

“Saya tidak akan berkata apa-apa tentang apa yang berlaku kepada dua wilayah Tanah Melayu ini kecuali mengakui bahawa saya memujuk Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan ketika itu untuk memberi lebih RM10,000 kepada Kedah setiap tahun.

“Saya tidak meminta sesiapa untuk percaya saya,” katanya.

Sebelum ini, polis telah menyerahkan sebahagian laporan berhubung dakwaan Muhammad Sanusi bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah kepada Peguam Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan terhadap kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu dilakukan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Menurut Anwar, kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sebagai seorang yang ada kedudukan, kenyataan ini adalah tidak bertanggungjawab dan pihak polis telah mulakan siasatan berdasarkan beberapa peruntukan sedia ada untuk mengambil tindakan yang sesuai menghindari daripada penerusan kenyataan-kenyataan yang melanggar prinsip Perlembagaan dan undang-undang ini.

“Sebahagian laporan telah dikemukakan kepada Peguam Negara, menunggu Peguam Negara untuk mengambil tindakan yang bersesuaian,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI